
AUCKLAND: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan enam yang lain cedera dalam kejadian tembakan di tapak pembinaan di bandar terbesar di New Zealand, Auckland.
Pihak polis tempatan dalam kenyataannya berkata, suspek tembakan juga mati ditembak dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.22 pagi hari ini, Khamis (20 Jul) itu.
“Kejadian berlaku di jalan aya yang sibuk di pusat bandar. Ia telah berjaya dikawal dan merupakan insiden terpencil,” ujar kenyataan itu menurut laporan NZ Herald.
Insiden itu berlaku hanya beberapa jam sebelum perlawanan pembukaan Piala Dunia Wanita FIFA kesembilan di Eden Park di Auckland yang dijadualkan berlangsung pada lewat hari ini.
Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins berkata, kejohanan bola sepak itu akan diteruskan seperti yang dirancang, sambil menambah bahawa kejadian tembakan itu adalah tindakan individu dan polis tidak mencari suspek lain berhubung insiden itu.
“Tiada motif atau ideologi politik yang dikenal pasti dalam kejadian tembakan itu, jadi tiada risiko keselamatan negara,” kata Hipkins semasa taklimat media televisyen.
“Tidak akan ada perubahan kepada tahap ancaman keselamatan di New Zealand buat masa ini,” tambahnya.
Sehubungan itu, sesi latihan untuk pasukan bola sepak Itali ditangguhkan kerana pemain tidak dapat keluar dari hotel mereka, manakala pasukan Amerika Syarikat berkata bahawa semua pemain dan kakitangannya telah dipastikan berada dalam keadaan selamat.
“Douglas Emhoff, suami kepada Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris yang mengetuai delegasi Presiden AS ke New Zealand untuk menghadiri upacara pembukaan Piala Dunia itu, juga dalam keadaan selamat,” ujar kenyataan kedutaan AS pula.
Susulan kejadian itu, beberapa jalan raya di Auckland telah dikepung dan semua perkhidmatan feri ke bandar itu dibatalkan manakala perjalanan bas yang melalui beberapa kawasan di bandar itu dilencongkan.
“Ini adalah situasi yang menakutkan bagi penduduk Auckland pada pagi Khamis yang sibuk ketika berulang-alik ke tempat kerja.
“Sila tinggal di rumah, elakkan perjalanan ke pusat bandar,” kata Datuk Bandar Auckland Wayne Brown dalam tweetnya.
Polis berkata bahawa suspek yang bersenjatakan senapang telah bergerak melalui tapak bangunan dan selepas sampai ke tingkat atas melepaskan tembakan dan lelaki itu kemudian ditemui sudah mati.
“Maklumat terkini mengenai kecederaan dan keadaan mangsa akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 20/7/2023




















