AI ancam privasi, hak penulis 

Kemunculan teknologi kecerdasan pintar (AI) kini turut menganggugat golongan penulis dan pengarang dari segi hak dan privasi. (FOTO: UNSW Newsroom)
- Advertisement -

TORONTO, Kanada: Beribu-ribu penulis dan pengarang telah menggesa syarikat teknologi kecerdasan pintar (AI) agar mendapatkan kebenaran sebelum memasukkan karya mereka ke dalam teknologi  baharu itu.

Antara penulis terkenal yang tampil dengan surat terbuka kepada pemimpin dan penggerak konglemerat AI ialah James Patterson, Suzanne Collins, dan Margaret Atwood, lapor AP.

- Advertisement -

“Berjuta-juta karya buku, artikel, esei dan puisi yang mempunyai hak cipta menjadi ‘juadah makanan’ untuk sistem AI,  tanpa henti dan bil. 

“Anda (pemimpin AI) membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk membangunkan teknologi AI. Ia hanya adil apabila anda memberi pampasan kami kerana menggunakan tulisan kami, kerana tanpa (bahan tulisan) kami, AI hanya menyediakan ilmu yang  cetek dan sangat terhad,” ujar kandungan surat itu.

Surat yang ditujukan kepada syarikat OpenAI, Meta, Microsoft dan syarikat-syarikat AI lain itu telah ditandatangani secara bersama antaranya oleh novelis pemenang Hadiah Pulitzer Jennifer Egan, Michael Chabon, dan Louise Erdrich, serta pengarang  tersohor seperti Jonathan Franzen, Celeste Ng, Nora Roberts, dan Ron Chernow.

Golongan penulis meminta pemimpin AI untuk mendapatkan kebenaran hak cipta dalam bagi memasukkan karya mereka ke dalam program AI generatif, serta memberi pampasan kepada penulis secara adil untuk penggunaan karya mereka itu.

“Pengarang harus diberi pampasan secara adil kerana kami semua bukan robot untuk diprogramkan, dan AI tidak boleh mencipta cerita tentang manusia tanpa mengambil daripada cerita manusia yang sudah ditulis oleh manusia,” tegas Nora Roberts dalam satu kenyataan berhubung surat  berkenaan. – HARAKAHDAILY 20/7/2023

- Advertisement -