Saudi setuju beli dron Turkiye

Putera Mohammed Bin Salman mengalu-alukan kunjungan selama tiga hari Erdogan di Arab Saudi. (FOTO: Saudi Press Agency)
- Advertisement -

JEDDAH: Arab Saudi telah bersetuju untuk membeli dron Turkiye, salah satu daripada beberapa kontrak menguntungkan yang diperoleh untuk ekonomi Turki yang sedang bergelut ketika Ankara meraih faedah daripada usaha diplomatiknya baru-baru ini untuk membaiki hubungan dengan kuasa negara Arab Teluk.

Sehubungan itu Turkiye dan Arab Saudi telah menandatangani beberapa siri perjanjian ekonomi dua hala antara kedua-dua negara pada Isnin merangkumi sektor pelaburan, industri pertahanan, tenaga dan komunikasi.

- Advertisement -


Perjanjian itu ditandatangani selepas mesyuarat delegasi yang diketuai oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman di bandar Jeddah., lapor Anadolu Agency.

Lembaga Perhubungan Ekonomi Luar Turkiye dalam kenyataannya menurut laporan Al Jazeera pula sebagai berkata, Erdogan tiba di Saudi pada Isnin, diiringi oleh rombongan kira-kira 200 ahli perniagaan sebagai sebahagian daripada lawatan tiga perhentian di rantau negara Teluk itu.

Terdahulu, Putera Mohammed mengalu-alukan Erdogan di Istana Al-Sallam dengan upacara rasmi, yang menyaksikan kedua-dua pemimpin mengadakan sesi perbincangan rasmi dan mesyuarat membincangkan hubungan dua hala Saudi dan Turkiye; serta isu serantau dan antarabangsa, lapor Saudi Press Agency.

Semasa lawatannya ke tiga negara Teluk itu, Erdogan sebelum ini berkata bahawa beliau mahu meningkatkan hubungan dengan mereka dan memuktamadkan perjanjian pelaburan.

Berucap pada sidang akhbar di Istanbul sebelum beliau memulakan lawatan ke negara-negarea Teluk, Erdogan memberitahu bahawa hubungan diplomatik dengan Saudi telah terjalin sejak tahun 1929.

“Kami mahu memperluaskan asas kukuh hubungan kami ke kawasan kerjasama yang lebih luas,” ujar beliau.

“Sebagai salah satu negara terpenting di rantau ini, Saudi mempunyai tempat istimewa dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan kontrak.” tambah Erdogan.

“Nilai projek yang dijalankan oleh kontraktor kami di Arab Saudi dalam tempoh 20 tahun lalu adalah kira-kira AS$25 bilion (RM114 bilion). 

“Kami mahu syarikat-syarikat Turkiye memainkan peranan yang lebih besar dalam projek berskala besar di Arab Saudi,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2023

- Advertisement -