Iran: ‘Polis moral’ kembali sambung rondaan

Foto fail menunjukkan pegawai polis moral sedang menyoal seorang wanita di Iran. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

TEHRAN: Pihak berkuasa polis Iran menyambung semula rondaan untuk memastikan golongan wanita mematuhi kod pakaian dan menutup rambut mereka di khalayak ramai di negara itu.

Dikenali secara spesifiknya sebagai ‘polis moral’, ia akan kembali ke jalanan untuk menguatkuasakan undang-undang hijab di Iran, lapor Saudi Gazette memetik kenyataan  seorang jurucakap polis Iran  pada Ahad (16 Julai).

- Advertisement -

Ia kembali dikuatkuasa 10 bulan selepas seorang wanita muda, Mahsa Amini, 22, meninggal dunia dalam tahanan berikutan penahanannya di Tehran kerana didakwa melanggar kod berpakaian.

Kematian Amini telah mencetuskan bantahan besar-besaran di negara itu dan khidmat rondaan polis moral telah dihentikan sementara. 

Bagaimanapun, pejuang Islam negara itu telah mendesak kerajaan  agar rondaan polis moral disambung semula.

Di bawah undang-undang Iran, yang berdasarkan tafsiran syariah negara, kaum wanita mesti menutup rambut mereka dengan tudung dan memakai pakaian yang panjang dan longgar agar tidak menyerlah susuk tubuh mereka.

Unit polis moral ditugaskan untuk memastikan peraturan tersebut dihormati, dan menahan individu  yang dianggap ‘tidak wajar’ dalam  berpakaian di negara itu.

Jurucakap polis Saeed Montazerolmahdi berkata, semasa rondaan, pegawai polis akan terlebih dahulu memberi amaran kepada wanita yang didapati tidak mematuhi peraturan, lapor agensi berita, Tasnim.

“Jika mereka ingkar perintah, polis kemudiannya boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.

Amini sedang melawat ibu negara Tehran bersama keluarganya pada September lalu apabila gadis itu ditangkap oleh polis moral sabit tuduhan memakai tudungnya secara ‘tidak wajar’.

Dia rebah selepas dibawa ke pusat tahanan dan terdapat laporan bahawa pegawai memukul kepala Amini dengan baton dan menghantukkan kepalanya pada salah satu kenderaan mereka.

Ia telah menimbulkan kemarahan berjuta-juta rakyat Iran – membawa kepada protes ganas antikerajaan berbulan-bulan di seluruh negara itu, yang menyaksikan hampir 600 penunjuk perasaan terbunuh.

Dalam beberapa bulan selepas protes, ramai wanita berhenti memakai tudung sama sekali; dan senario itu adalah cabaran langsung terbesar kepada pemerintahan ulama di Iran sejak era revolusi 1979.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan bahawa, sehingga baru-baru ini, pandangan wanita tidak memakai tudung menjadi semakin biasa di Iran.

Namun sebaliknya, pihak berkuasa Iran mengenakan hukuman yang lebih berat, termasuk memaksa perniagaan ditutup jika mereka tidak mematuhi undang-undang hijab.

Walaupun protes itu menarik sejumlah rakyat Iran, sebahagian besar lagi masih menyokong kod berpakaian menutup aurat  di negara.

Awal tahun ini, muncul satu video yang menunjukkan seorang lelaki membaling tab yogurt di hadapan dua wanita yang tidak bertudung. 

Tindakan lelaki itu telah mengundang kemarahan oleh pemerhati orang ramai, dan lelaki kemudiannya ditangkap; begitu juga wanita terbabit juga ditahan.

Iran mempunyai pelbagai bentuk polis moral sejak era revolusi; yang mana versi terbaharu ini  dikenali secara rasmi sebagai Peronda Panduan (Gasht-e Ershad), yang telah memulakan rondaan mereka pada tahun 2006.

Tidak jelas berapa ramai lelaki dan wanita yang bekerja untuk pasukan itu, tetapi mereka mempunyai akses kepada senjata dan pusat tahanan, serta apa yang dipanggil ‘pusat pendidikan semula’. – HARAKAHDAILY 17/7/2023

- Advertisement -