Dana RM150,000 untuk Liga Bola Sepak Perlis

Mohd Shukri (empat dari kanan) turut menyampaikan Insentif Kemenangan Sukan SEA dan Para ASEAN Kemboja 2023 kepada 13 orang atlet negeri ini berjumlah RM18,625 dalam Majlis Pelancaran Liga Super Perlis 2023 di Dewan Bankuet Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Kangar, Perlis pada 16 Julai 2023.
- Advertisement -

KANGAR: Dana sebanyak RM150,000 telah diberikan kepada Liga Bola Sepak Perlis untuk penganjuran Liga Super Perlis 2023 dan Liga Tunas Perlis 2023.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memajukan sukan bola sepak negeri Perlis.

- Advertisement -

“Kita telah menambah peruntukan Liga Bola Sepak Perlis pada tahun ini berjumlah RM50,000 berbanding tahun lalu menjadikan peruntukan Liga Bola Sepak Perlis 2023 berjumlah RM150,000  untuk penganjuran Liga Super Perlis 2023 dan Liga Tunas Perlis 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Liga Super Perlis 2023 di Dewan Bankuet Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini, semalam.

Katanya lagi, sukan bola sepak terbukti sebagai satu entiti penyatuan rakyat dan instrument perpaduan kaum dalam negara yang berbilang bangsa.

“Pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga Super Perlis 2023 ini saya anggap sebagai ‘Pewaris Legasi Bola Sepak Perlis’ yang akan membawa aspirasi Kerajaan Negeri dalam pembangunan sukan bola sepak di negeri ini. 

“Saya sedar dan tahu akan kekurangan yang kita ada di dalam pembangunan sukan bola sepak negeri,  namun begitu, ini bukanlah halangan untuk kita maju,” jelas beliau.

Dalam pada itu, ujarnya, Penswastaan Liga Malaysia yang berlaku pada dekad ini merupakan satu langkah ke arah mewujudkan satu sistem liga yang lebih dinamik dan berkembang maju sepertimana dilaksanakan di negara-negara kuasa besar sukan bola sepak. 

“Saya melihat ramai selaku pengurus, jurulatih dan juga pentadbir di belakang tabir pasukan adalah golongan muda yang sentiasa panas dan aktif untuk berjuang bagi memastikan kita ada pemain bola yang handal-handal untuk diangkat ke peringkat tertinggi. 

“Sekiranya hasrat ini berjaya maka terbuktilah bahawa tanpa kemewahan seperti negeri-negeri lain pembangunan sukan dapat juga dilaksanakan asalkan kita memiliki kudrat dan keupayaan serta semangat swadaya di kalangan aktivis sukan,” katanya.

Dalam majlis sama, Mohd Shukri turut menyampaikan Insentif Kemenangan Sukan SEA dan Para ASEAN Kemboja 2023 kepada seramai 13 orang atlet negeri ini berjumlah RM18,625. – HARAKAHDAILY 17/7/2023

- Advertisement -