
KALABAKAN, Sabah: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan turut dialami di Sabah, sementelah kedengaran desas-desus tonggak Sabah FC, Baddrol Bakhtiar dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Sungai Petani, Kedah.
Pengarah Program Ameerah Kalabakan (Ameerah), Nurlaela Said berkata, adalah menjadi tanggungjawab badan itu untuk memberi maklumat tentang kepentingan wanita muda celik dan cakna terhadap perkembangan politik setempat, negeri dan negara.
Sehubungan itu, Ameerah telah melaksanakan Program Hi Tea secara maya bagi membincangkan isu politik berjudul, Pilihanraya Dari Kaca Mata Islam, semalam.
“Program ini sempena meraih PRN enam negeri. Bahangnya tetap dirasai walaupun Sabah tidak terlibat,” katanya.
Tambahnya, Ameerah sentiasa merancang program seumpama ini bagi meningkatkan kefahaman orang ramai khususnya anak muda tentang kepentingan pilihan raya dalam memilih pemimpin yang berkualiti dan berkarisma.
Dalam program yang menyasarkan penglibatan daripada pertubuhan belia-belia setempat, Srikandi Muda dan kelab-kelab belia itu, ahli penel yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kalabakan, Norjannah Jam Jam dalam hujahnya berkata, Islam sangat mementingkan kesedaran tentang pemilihan pemimpin melalui pilihan raya.
“Pemikiran Islam sekadar ibadat perlu diubah. Sikap tidak peduli tentang politik akan menyebabkan golongan yang jahat dan zalim mengambil alih tampuk pemerintahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2023




















