Kolaborasi Andalusia Travel-NUTP tawar diskaun RM238

Ida Riswana bertukar dokumen perjanjian dengan Aminuddin dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Andalusia Travel dan NUTP di Kuala Lumpur pada hari ini, Sabtu, 15 Julai 2023. (FOTO: HARAKAHDAILY/J. Kemala)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) mengorak langkah melebarkan lagi sayapnya menerusi kolaborasi buat pertama kali dengan kesatuan guru terbesar di Malaysia, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), melalui pakej khas umrah yang menawarkan diskaun sebanyak RM238.

Memperkenalkan buat julung-julung kalinya kerjasamanya dengan NUTP, Pengarah dan Penasihat Undang-Undang, Ida Riswana Idris  berkata, Andalusia Travel menawarkan pakej umrah 12 hari 10 malam Penerbangan Umrah Khas Guru yang akan dimulakan pada 17 hingga 27 Disember 2023.

- Advertisement -

“Pakej yang pertama kali dilancarkan pada tarikh tersebut itu sangat istimewa ia bukan ia bukan sahaja memberi peluang kepada seramai 258 orang ahli NUTP dan keluarga terdekat mereka untuk menunaikan umrah, tetapi juga buat guru-guru yang mendaftar dengan NUTP, masing-masing akan menerima diskaun istimewa sebanyak RM238 setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Andalusia Travel dan NUTP di Tamu Hotel & Suites, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden NUTP, Aminuddin Awang; Timbalan Presiden NUTP, Ko Beng Keat; dan Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon.

Menurut Ida Riswana, kerjasama yang dijalinkan dengan NUTP itu merupakan permulaan kepada usaha Andalusia Travel dalam menghargai jasa dan pengorbanan guru di negara ini, khususnya ahli NUTP; di samping melengkapkan misi perjuangan Andalusia Travel untuk terus menawarkan pakej umrah ‘mampu milik’ dengan perkhidmatan yang lengkap bagi jemaah dari segenap lapisan masyarakat.

Andalusia Travel dan NUTP kini mengorak langkah dalam menjalinkan lebih banyak kolaborasi pada masa akan datang.

“Setiap tahun, semasa cuti sekolah, pihak kami menerima tempahan yang berlipat kali ganda berbanding biasa.

“Oleh itu, banyak tempahan daripada guru-guru tidak dapat dipenuhi Andalusia Travel kerana telah diisi oleh jemaah lain yang mengambil peluang untuk menunaikan umrah pada waktu sama,” jelas beliau.

Tambahnya, pihak Andalusia Travel juga melihat kolaborasi ini sebagai permulaan untuk lebih banyak lagi kerjasama lain bersama NUTP pada masa akan datang, termasuk ibadah haji.

Sementara Aminuddin pula berkata, kerjasama dengan Andalusia Travel itu adalah selari dengan matlamat NUTP untuk memberi nilai tambah kepada 230,000 ahlinya di seluruh Malaysia, terutamanya kepada guru beragama Islam yang ingin menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah.

“Kerjasama ini bukan hanya melibatkan pakej umrah sahaja, namun ahli NUTP juga berpeluang untuk melancong ke luar atau dalam negara dengan harga istimewa melalui pakej-pakej lain yang disediakan oleh pihak Andalusia Travel,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/2023

- Advertisement -