
BANGKOK: Barisan ahli parlimen Dewan Negara dan senator Thailand bersidang selama enam jam sebelum pengundian bermula kira-kira jam pukul 5 petang (waktu tempatan) hari ini (13 Julai), dengan keputusannya dijangka diketahui pada lewat malam nanti.
Persidangan bersama itu akan menentukan sama ada calon Perdana Menteri, Pita Limjaroenrat, 42, boleh memenangi perlumbaan jawatan tersebut sebagai Perdana Menteri ke-30 Thailand.
Pita yang merupakan satu-satunya calon yang dicalonkan, menyaksikan partinya, Move Forward telah melakar kemenangan mengejut dalam pilihan raya pada 14 Mei lalu sebelum membentuk gabungan dengan tujuh sekutu, menguasai 312 kerusi daripada 500 ahli dalam Dewan Rakyat, lapor AP.
Namun, untuk menjadi perdana menteri, Pita memerlukan kelulusan daripada lebih separuh daripada perhimpunan gabungan, yang merangkumi 250 ahli Senat Dewan Tinggi.
Seorang senator meletak jawatan semalam, Rabu (12 Julai), menurunkan had undian kepada 375 undi untuk menjadi perdana menteri.
Pemilihan Perdana Menteri Thailand itu berkemungkinan akan diperhatikan dengan teliti oleh rakyat Thailand, kerana ia akan menunjukkan sama ada konsensus pilihan raya mereka dihormati oleh ahli parlimen.
Terdahulu, Pita dalam kenyataannya ketika perhimpunan di hadapan penyokongnya di Bangkok pada 9 Julai berkata, partinya sudah melangkag terlalu jauh untuk kalah
“Sedikit lagi. Kita akan sampai ke garisan penamat bersama-sama.”
Namun, Pita berdepan kemungkinan kehilangan kelayakan keahlian ahli Parlimennya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand meminta Mahkamah Perlembagaan pada Rabu memutuskan sama ada ia perlu ditamatkan.
Penamatan itu berkaitan dengan 42,000 saham firma media ITV, yang dipegang di bawah nama Pita ketika beliau bertanding dalam pilihan raya pada 14 Mei lalu.
Mengikut perlembagaan Thailand, individu dilarang bertanding dalam pemilihan Ahli Dewan Rakyat jika mereka merupakan pemegang saham mana-mana akhbar atau perniagaan media massa.
Pita bagaimanapun mendakwa beliau menguruskan saham itu bagi pihak dana warisan keluarganya. Dia kemudiannya memindahkan mereka kepada waris lain.
ITV secara rasmi memulakan penyiaran pada tahun 1996, sebelum ia kehilangan hak untuk menggunakan frekuensi untuk penyiaran pada tahun 2007 selepas Pejabat Perdana Menteri membatalkan perjanjian konsesinya.
Pada masa ini, syarikat tersebut dan Pejabat Perdana Menteri terlibat dalam pertikaian undang-undang yang berterusan. – HARAKAHDAILY 13/7/2023




















