Hujan lebat di seluruh utara India: 22 maut

Visual menakutkan di Sungai Beas berikutan hujan lebat di Kullu, Himachal Pradesh, India pada 9 Julai 2023. (FOTO: AP)
- Advertisement -

NEW DELHI: Hujan lebat di seluruh utara India telah mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang, serta menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat di wilayah itu.

Pihak berkuasa tempatan pada hari ini, Isnin (10 Julai) berkata, sekolah-sekolah di New Delhi ditutup selepas hujan lebat melanda ibu negara pada hujung minggu, dan pihak berkuasa di negeri Himalaya Himachal Pradesh dan Uttarakhand pula meminta orang ramai untuk tidak keluar dari rumah mereka melainkan jika perlu.

- Advertisement -

Pihak berkuasa juga berkata New Delhi menerima hujan paling banyak dalam beberapa dekad menyebabkan ia ditenggelami dengan hujan 153 milimeter, jumlah hujan paling tinggi dalam sehari pada bulan Julai di negara itu dalam tempoh 40 tahun.

Sekurang-kurangnya 22 orang maut dalam banjir dan tanah runtuh di negeri utara Himachal Pradesh, Uttarakhand, Uttar Pradesh, Jammu dan Kashmir dan Punjab pada Ahad (9 Julai), lapor akhbar Times of India.

Di negeri utara Himachal Pradesh, banjir kilat pada hujung minggu meruntuhkan sebuah jambatan dan menghanyutkan beberapa pondok. 

Rakaman daripada rakan kongsi Reuters, ANI menunjukkan poihak berkuasa menggunakan helikopter untuk menyelamatkan orang  ramai yang terkandas di jalan-jalan raya dan jambatan-jambatan susulan hujan yang mengggila itu.

Jalan-jalan raya di seluruh negeri utara, termasuk di Punjab, Delhi dan Uttarakhand dinaiki air, dengan di beberapa kawasan, anggota penyelamat menggunakan rakit getah untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas di dalam rumah mereka.

“Orang ramai minta tinggal di dalam rumah anda kerana lebih banyak hujan lebat dijangka dalam 24 jam akan datang,” kata Ketua Menteri Himachal, Pradesh Sukhvinder Singh Sukhu dalam kenyataan di media sosial lewat malam Ahad (9 Julai).

“Banyak daerah di Himachal Pradesh menerima jumlah hujan  yang sepatutnya dikumpul dalam tempoh sebulan, hanya dalam sehari pada hujung minggu ini,” ujar pula seorang pegawai kanan jabatan cuaca.

Menurut jabatan itu lagi, Delhi, Punjab, dan Himachal Pradesh  masing-masing telah menerima 112 peratus, 100 peratus dan 70 peratus lebih banyak hujan daripada purata setakat ini dalam musim tengkujuh semasa yang bermula pada 1 Jun 2023. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -