
BEIJING: Enam orang maut dan seorang cedera dalam kejadian tikam di sebuah tadika di wilayah Guangdong, tenggara China.
Pihak polis tempatan berkata, mereka telah menahan seorang suspek, lelaki berusia 25 tahun dengan nama keluarga Wu.
Mangsa yang maut termasuk seorang guru, dua ibu bapa dan tiga murid di tadika itu, lapor AFP, memetik kenyataan jurucakap kerajaan bandar berkenaan.
Serangan itu berlaku pada jam 7.40 pagi, waktu tempatan, pada hari ini, Isnin (10 Julai), dan suspek ditahan pada jam 8 pagi, yang mana polis telah mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘serangan dengan sengaja’.
Jenayah keganasan agak jarang berlaku di China, tetapi negara itu telah menyaksikan serangan pisau bersiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk beberapa di sekolah.
Pada Ogos tahun lalu, seorang penyerang bersenjatakan pisau menyerbu sebuah tadika di wilayah Jiangxi tenggara, meragut 3 nyawa dan mencederakan enam yang lain.
Pada April 2021, dua kanak-kanak maut manakala 16 yang lain cedera dalam kejadian tikaman beramai-ramai di Beiliu City, di Wilayah autonomi Guangxi Zhuang.
Pada Oktober 2018, 14 kanak-kanak cedera dalam serangan pisau di sebuah tadika di Chongqing, barat daya China.
Pihak berkuasa China telah meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar sekolah sejak 2010.
Pada tahun itu, Kementerian Keselamatan Awam telah menggesa pihak berkuasa tempatan untuk membanteras dengan tegas aktiviti jenayah bagi memastikan keselamatan guru dan pelajar.
Selepas serangan April 2021, kementerian pendidikan juga mewajibkan latihan pemindahan kecemasan di semua sekolah di China. – HARAKAHDAILY 10/7/2023




















