
KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan bertindak tegas ke atas kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang menakut-nakutkan pengundi Pulau Pinang.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini apabila Guan Eng menggesa pengundi di Pulau Pinang untuk menyekat “gelombang hijau” daripada bertapak di negeri itu.
“Beliau mendakwa gelombang hijau akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.
“Kenyataan ini jelas satu fitnah, seolah-olah gelombang hijau yang diterajui PAS bersama rakan dalam PN (PERIKATAN NASIONAL), iaitu parti Bersatu dan Gerakan menjadi ancaman kepada kehidupan beragama orang Buddha,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ini, ujarnya menggambarkan kejahilan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu terhadap kehidupan beragama orang bukan Islam di negeri-negeri yang dikuasai PAS.
Beliau menambah, Guan Eng perlu melihat kepada keadaan penganut Buddha di Kelantan, Terengganu Kedah dan Perlis yang diberi kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama mereka.
Bahkan, ujarnya patung Buddha yang terbesar terletak di Kelantan dan bukannya di Pulau Pinang.
“Kita yakin jika kenyataan sebegini diucapkan oleh pimpinan PN, pasti mereka akan terus disiasat dan diambil tindakan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Sehubungan itu, kata beliau PAS menyeru agar Ketua Polis yang telah menegaskan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pimpinan politik yang memainkan isu 3R supaya bertindak seperti yang diucapkan.
“Kita ingin melihat sejauh mana tindakan diambil ke atas Lim Guan Eng dengan kenyataan beliau ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 9/7/2023




















