
KUALA LUMPUR: Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) diarah membuat laporan polis terhadap ucapan Lim Guan Eng kononnya untuk menakutkan pengundi bangsa Cina.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata laporan polis dilakukan di seluruh negara bagi menyatakan bantahan terhadap sikap perkauman pemimpin DAP itu.
“Pengarahan ini untuk seluruh jentera Pemuda PN di seluruh negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Baginya, hanya perkataan ‘hipokrit’ sahaja perkataan yang layak untuk diletakkan kepada para pemimpin Kerajaan Perpaduan apabila kononnya lantang mengecam isu 3R (royal, religion, racist) termasuk satu lagi R iaitu region.
“Tetapi kenyataan berkaitan 4R inilah yang apabila dilaung oleh para pemimpin Kerajaan Perpaduan melalui Pakatan Harapan, mereka sendu seribu Bahasa,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Menurutnya, Pemuda PN dimaklum suatu ucapan yang sangat biadap, kononnya untuk menakutkan pengundi bangsa Cina oleh Lim Guan Eng dengan menyatakan PN akan memusnahkan tokong jika berjaya memerintah Pulau Pinang. (https://www.chinapress.com.my/20230707/形容绿潮是汉奸、反骨仔-林冠英吁勿引青/)
Katanya, kenyataan itu adalah kemuncak kepada provokasi kaum yang bakal memusnahkan kedamaian dan perpaduan rakyat Malaysia hanya semata-mata takut melihat penolakan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan yang penuh penipuan, manipulasi dan kegagalan yang berturut-turut selama tujuh bulan pemerintahan yang gagal ini.
Tegasnya, Pemuda PN mengecam keras terhadap kenyataan terkutuk itu dan menyifatkan ia sebagai satu pembohongan besar demi menutup kegagalan mereka mentadbir negara.
“Para menteri yang sebelum ini sibuk memberi amaran akan bertindak jika isu ini dibangkitkan, nah sekarang apa tindakan?” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/7/2023




















