
HULU LANGAT: Kos sara hidup yang semakin meningkat sekarang menyebabkan ada dalam kalangan penduduk terpaksa meminjam ah long untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bebanan itu berlaku ekoran kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang turut menyumbang kepada kenaikan kos kehidupan sekarang.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Hulu Langat, Dr. Radzi Abdul Latif berkata, OPR akan jadi masalah besar kerana kenaikannya menyebabkan bayaran bulanan rumah dan seumpamanya meningkat sehingga membebankan rakyat.
“Jadi, akibat daripada itu yang menyebabkan sebahagian daripada mereka berhutang dengan Ah Long sehingga mengundang masalah lain pula,” ujarnya ketika ditemui selepas program ceramah malam tadi.
Katanya rakyat menderita secara senyap kerana kerajaan tiada formula menyelesaikan masalah ekonomi yang berlaku sekarang.
Menurutnya rakyat tersepit daripada masalah ekonomi bukan sahaja berlaku di Selangor sebaliknya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Beliau juga mendakwa sebuah kedai di kawasan Sungai Long terpaksa ditutup akibat kenaikan sewa kedai memandangnya pemilik kedai tersebut terpaksa menaikkan kadar sewa kerana perlu membayar hutang bank yang semakin meningkat.
“Ini dibuktikan dengan laporan Bank Negara, setiap tiga daripada 10 orang terpaksa meminjam untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan sengaja meniupkan api perkauman bagi menutup ruang perbincangan rakyat mengenai ekonomi negara.
“Ekonomi rakyat merupakan perkara nombor satu yang amat penting tetapi DAP yang sentiasa meniupkan isu-isu sentimen perkauman supaya perkara tersebut tidak dibincangkan,” ujarnya.
Beliau juga tidak menafikan wujudnya sesetengah golongan yang terlalu kaya yang memegang ekonomi negara mempunyai potensi untuk mengawal setiap politik dan ekonomi sesebuah negara.
Oleh itu katanya setiap orang Melayu kena bersatu lebih-lebih lagi ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.
Ceramah Perdana PERIKATAN NASIONAL Hulu Langat dalam kempen Jelajah Selangor Baharu diadakan di dewan belakang Surau Jenaris.
Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Yang Dipertua PAS Hulu Langat Mohammad Jan Sulong, Yang Dipertua PAS Gombak Salehuddin Mohd Yasin dan Yang Dipertua PAS Shah Alam Mohamed Sukri Omar. – HARAKAHDAILY 9/7/2023




















