
KOTA BHARU: Pengerusi DAP Lim Guan Eng dianggap merasa terancam dengan sokongan masyarakat terhadap ‘gelombang hijau’ khususnya di Pulau Pinang, menyebabkan beliau mencipta fitnah terhadap PAS.
Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kelantan, Lim Guan Seng berkata, kerana takut hilang sokongan pemimpin DAP cuba menakut-nakutkan rakyat Pulau Pinang agar jangan menyokong PERIKATAN NASIONAL (PN) jika tidak ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
Malah, tambahnya lagi Guan Eng seakan lupa sejarah kehidupan masyarakat non-Muslim di Kelantan dilayan ketika DAP bersama Pakatan Rakyat dahulu.
“Kelantan yang ditadbir PAS sejak 33 tahun lalu, kita masyarakat non-muslim merasai hidup aman damai tanpa sebarang gangguan,” ujarnya di sini.
Menurutnya, kenyataan Guan Eng hanya untuk menakut-nakutkan orang Cina di Pulau Pinang semata-mata sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang akhirnya memakan diri sendiri.
Katanya pemimpin DAP takut kepada gelombang hijau yang kini melanda di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
Katanya juga sebelum ini gelombang hijau tidak begitu sampai di Pulau Pinang, namun sekarang ia sudah berubah sehingga Guan Eng berasa takut.
“Memang beliau menafikan mengeluarkan kenyataan itu, tetapi biasalah bila dah jadi panas, tiba-tiba dia nafi,” ujarnya ketika ditemui di Markas DHPP hari ini.
Seng turut memberitahu, Kelantan satu-satunya kerajaan negeri yang telah mewartakan tanah untuk tapak wat Siam yang kini berjumlah 13 tempat.
Sedangkan katanya, kerajaan BN tidak pernah mewartakan tapak wat Siam, tetapi bawah PAS, 13 penempatan wat telah diwartakan dan akan disusuli lagi ditempat lain selepas ini.
Tambahnya, Guan Eng perlu tahu di Kelantan terdapat pelbagai jenis wat dan tokong di mana ada yang tidur, duduk, berdiri dan macam-macam lagi yang jauh lebih besar berbanding di Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 9/7/2023




















