Wan Noor Speaker Dewan Rakyat baharu Thai

Wan Noor merupakan satu-satunya nama yang dicalonkan untuk jawatan Speaker Dewan Rakyat Thailand yang baharu. (FOTO: Thai PBS World)
- Advertisement -

BANGKOK: Speaker Dewan Rakyat Thailand yang baru dilantik, Wan Muhamad Noor Matha berazam akan menjalankan tugas dengan adil mengikut lunas undang-undang bagi memperbaiki kehidupan rakyat negara itu.

Ahli politik veteran dari Parti Prachachart yang dikenali dengan panggilan Wan Noor, 79, itu disahkan sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu selepas menjadi satu-satunya nama yang dikemukakan untuk jawatan tersebut pada hari ini, Selasa (4 Julai) berkata, antara tugas pertama beliau ialah membentangkan undi parlimen dwidewan kepada Perdana Menteri untuk membentuk kerajaan seterusnya.

“Saya akan menjalankan tugas dengan adil… dengan ketelusan dalam mempertimbangkan draf undang-undang dan petisyen untuk memperbaiki kehidupan semua rakyat Thailand,” katanya selepas pencalonannya itu, lapor Reuters.

- Advertisement -

Pencalonan Wan Noor dilihat secara meluas sebagai kompromi antara dua parti terbesar, yang juga rakan pakatan Move Forward dan Pheu Thai, yang menurut laporan Thai PBS World, kedua-duanya sebelum ini berselisih pandangan mengenai jawatan penting negara Thailand itu.

Sebagai satu-satunya nama yang meraih pencalonan, tiada pengundian di Parlimen diperlukan untuk menyokong pelantikan Wan Noor itu. 

Wan Muhamad menang tanpa bertanding selepas pemimpin parti Move Forward, Pita Limjaroenrat mencalonkannya.

Mengikut prosedur pemilihan jawatan berkenaan di Thailand, sekiranya terdapat hanya satu pencalonan, maka individu akan dipilih secara automatik.

Namun, pemilihan Wan Noor itu masih belum diperkenankan secara rasmi oleh Raja Thailand dalam bentuk Titah Diraja.

Jawatan Speaker Dewan Rakyat sangat diperlukan di Thailand ketika ini kerana ia boleh mempengaruhi kelulusan undang-undang utama dan masa pengundian.

Tolak ansur berhubung Speaker Dewan Rakyat  boleh membantu meredakan beberapa ketegangan antara dua parti erbesar Thailand yang sebelum saling mendesak antara satu sama lain selama berminggu-minggu mengenai jawatan tersebut.

Parti Move Forward yang progresif dan Pheu Thai yang populis menewaskan pesaing konservatif dan pro-tentera Thailand dalam Pilihan Raya Umum Thailand pada 14 Mei lalu, masing-masing memenangi 151 dan 141 kerusi,dalam apa yang dilihat sebagai penolakan besar terhadap sembilan tahun kerajaan yang dipimpin atau disokong oleh tentera.

Pengasas Kumpulan Wahdah

Dilahirkan pada 11 Mei 1944 di Yala, Thailand, Wan Noor adalah pengasas Kumpulan Wahdah, sebuah lobi kecil ahli politik Islam dari wilayah Selatan Thailand. 

Bekas pensyarah  di Universiti Songkhla Rajabhat dan Universiti Thaksin itu merupakan lulusan Sekolah Rendah Ban Sateng, wilayah Yala, Sekolah Menengah Rendah Kanaratbamrung, juga di wilayah Yala dan menengah atas di Kolej Islam Thailand di Bangkok.

Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Chulalongkorn dengan biasiswa Kementerian Dalam Negeri Thailand dan mempunyai ijazah Sarjana di Fakulti Pendidikan (Pentadbiran Pendidikan), juga di Universiti Chulalongkorn.

Wan Noor mula berkhidmat sebagai guru dan dilantik sebagai guru besar di Akademi Attarkiah di Wilayah Narathiwat sejak  berumur 20 tahun.

Pada 1969, beliau berpindah untuk  menjadi guru di Maktab Perguruan Songkhla (Kini, Universiti Songkhla Rajabhat), sebelum dilantik sebagai profesor di Fakulti Pendidikan, Universiti Srinakharinwirot, Songkhla (kini Universiti Thaksin) pada 1975, selain bertugas sebagai profesor khas Fakulti Pendidikan di Universiti Prince of Songkla. 

Menjelang 1978, Wan Noor kemudian  dilantik sebagai Naib Presiden Maktab Perguruan Songkhla.

Kerjaya politik bermula 1979

Kerjaya politik beliau bermula pada 1979, apabila telah dipilih ke Dewan Perwakilan Thai mewakili wilayah Yala dan Parti Tindakan Sosial sehingga 1984. 

Beliau berpindah ke Parti Demokrat pada tahun 1986, sebelum ke Parti Solidariti pada tahun 1988, dan ke Parti Aspirasi Baru pada tahun 1992. 

Setiap kali beliau berpindah parti, Wan Noor membawa bersama-samanya sekumpulan wakil dari wilayah majoriti Islam Narathiwat, Pattani dan Yala – yang dikenali sebagai Kumpulan Wahdah. 

Selepas 1980, beliau bertugas di Kementerian Kewangan dan Industri Thailand; dan sari 1994 hingga 1995, Wan Noor kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan menjadi Presiden (Speaker) Parlimen dari November 1996 hingga Jun 2000.

Apabila Parti Aspirasi Baru dibubarkan dan bergabung dengan parti Thai Rak Thai (TRT) pada tahun 2001, beliau dilantik Menteri Pengangkutan dan Perhubungan; sebelum pada Oktober 2002  mengisi jawatan Menteri Dalam Negeri.

Sebagai salah seorang daripada 111 ahli eksekutif TRT, beliau telah dilarang daripada sebarang aktiviti politik selama lima tahun selepas rampasan kuasa Thailand pada 2006.

Selepas rampasan kuasa Thai 2006 dan kejatuhan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra (dari 2001 sehingga 2006),  Wan Noor dilantik sebagai Pengarah Pusat Kawalan Dadah Kebangsaan. 

Beliau pada mulanya menyertai parti pengganti TRT, iaitu Parti Kuasa Rakyat pada 2008, tetapi pada masa larangan selama lima tahun terhadap aktiviti politik dikuatkuasakan, Kumpulan Wahdah telah berkembang menjadi Parti Matubhum.

Wan Noor dan Surapol Nakavanich menubuhkan Parti Prachachart pada 2018 sebagai serpihan dari Parti Pheu Thai, yang mana Prachachart memiliki populariti dalam kalangan orang Melayu Thai di Selatan Thailand. – HARAKAHDAILY 4/7/2023

- Advertisement -