Emas: ‘Wang bebas hutang’

Emas mampu meningkatkan nilai mata wang seperti Ringgit Malaysua ketika ia mengalami kejatuhan berbanding dolar Amerika (USD). (GAMBAR HIASAN)
- Advertisement -

Emas merupakan sesuatu yang tidak asing lagi bukan sahaja dalam masyarakat di negara kita tetapi di seluruh dunia sejak zaman dahulu kala lagi.

Apabila disebut perkataan ‘emas’, ramai orang hanya akan membayangkan ia sebagai barangan kemas seperti rantai emas, cincin emas dan seumpama dengannya.

Namun, emas juga dikenali sebagai simbol kekayaan dalam kalangan jutawan kerana mempunyai nilai yang amat tinggi.

Persoalannya, berapa ramai yang sedar bahawa emas merupakan mata wang (atau currency) dalam Islam yang sebenarnya bebas hutang?  

- Advertisement -

Mengapa logam tersebut tidak mempunyai sebarang susut nilai walaupun ia telah wujud sejak zaman beribu-ribu tahun lagi?

Untuk menjawab soalan tersebut, kita harus memahami definisi wang (atau money)  itu sendiri kerana emas merupakan antara mata wang yang telah digunapakai sebagai wang dalam urusan jual beli dalam pelbagai tamadun dan turut digunakan ketika zaman para nabi lagi.

Menurut definisi Kamus Dewan, wang merupakan alat pertukaran yg mempunyai harga (nilai) tertentu dan diakui sah. Dalam bahasa Inggeris, definisi tersebut dikenali dengan istilah  ‘medium of exchange’ (medium pertukaran).

Beza wang, mata wang

Melalui buku karya mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berjudul Doctor In The House, dalam bab Currency Crumble, beliau mengatakan bahawa mata wang hanyalah sehelai kertas yang tidak bernilai. Mata wang mempunyai nilai apabila kita ‘percaya’ bahawa ia mempunyai nilai.

Sehubungan itu, ramai yang  menganggap wang mempunyai tafsiran yang sama dengan mata wang tetapi hakikatnya ada perbezaan antara kedua-duanya.

Keratan akhbar Utusan Malaysia tentang cadangan Mahathir yang menggalakkan rakyat membeli emas pada tahun 2010.

Pengasas GoldSilver.com, salah satu syarikat pendidikan pelaburan yang paling dihormati di dunia dan peneraju global dalam jualan emas dan perak, Michael Maloney berkata, mata wang digunakan sebagai alat pertukaran yang mempunyai ciri-ciri seperti mudah dibawa, tahan lama, boleh dibahagikan dan mempunyai unit yang sama, dikenali dengan istilah ‘fungible’ (kesepiawaian) – sifat boleh tukar sesebuah barang atau komoditi kerana berkongsi piawai, iaitu ‘sepiawai’, secara unit individu di mana setiap bahagiannya tidak dapat dibezakan dari sebahagian yang lain.

Menurut beliau yang juga hos bagi siri video tersohor, Hidden Secrets of Money dan pengarang buku best-seller, Guide to Investing in Gold and Silver, wang juga mempunyai ciri-ciri yang sama seperti mata wang.

Namun, apa yang membezakan antara kedua-duanya ialah wang tidak mempunyai sebarang susut nilai, tetapi mata wang sebaliknya berupaya mengalami susut nilai seperti yang dialami mata wang rasmi Malaysia, Ringgit Malaysia (RM) berbanding Dolar Amerika (USD) ketika ini (RM4.67 berbanding 1 dolar AS/USD).

Ringgit Malaysia (RM) ketika iniu mengalami kejatuhan berbanding Dolar Amerika (USD) sebanyak RM4.67 berbanding 1 dolar AS/USD.

Sebagai contoh, katalah RM50 ketika zaman 1980-an membolehkan seseorang untuk membeli pelbagai jenis barangan dapur berbanding dengan RM50 di era sekarang, yang mana senario ini dikenali sebagai susut nilai atau dalam istilah biasanya – inflasi.

Perkara ini yang dipanggil sebagai tiada susut nilai kerana emas merupakan wang yang dicipta dan dijamin oleh Allah SWT dan fakta ini disokong oleh Setiausaha Majlis Ekonomi Halal, Dr. Helmi Ibrahim.

Wang sebenar dalam Islam

Beliau menyatakan emas merupakan penggunaan wang yang sebenar dalam ekonomi Islam dan seharusnya diambil perhatian oleh mana-mana kerajaan memandangkan perkataan emas disebut dalam al-Quran yang dipanggil sebagai dinar.

“Dalam terjemahan Surah Al-Hajj ayat 23 ada menyatakan: “Sesungguhnya Allah SWT akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera”,” ujarnya.

Dr. Helmi Ibrahim

“Penggunaan wang tersebut telah memberikan pelbagai kemakmuran ekonomi kerana fungsinya sebagai alat tukar wang yang stabil yang dapat menjamin kestabilan setiap politik dan sosial dalam sesebuah negara.

“Namun begitu, terdapat kerajaan yang mempunyai sifat tamak dan cuba mengganggu penggunaan emas dengan mencampurkannya dengan tembaga atau memaksa penggunaan wang lain seperti tembaga dalam setiap transaksi ekonomi,” kata Dr Helmi.

Sementara Maloney berkata, tindakan cuba mengganggu penggunaan emas dengan mencampurkannya dengan tembaga atau memaksa penggunaan wang lain seperti tembaga dalam setiap transaksi ekonomi itu bertujuan supaya kerajaan boleh berbelanja lebih daripada kemampuan akan tetapi memberikan kesan yang buruk iaitu inflasi dan menyebabkan kejatuhan kerajaan tersebut.

“Perkara sebegini berlaku pada zaman kerajaan Athens Greek yang mana kerajaan tersebut telah melakukan sedemikian dalam melakukan perbelanjaan lebih daripada kemampuan seperti pembinaan bangunan-bangunan mewah dan peperangan.

“Walaupun begitu, tindakan tersebut telah merosakkan ekonomi kerajaan tersebut secara kekal yang menyebabkan akhirnya menghadapi kekalahan dalam peperangan melawan Sparta dalam Peperangan Peloponesia yang berlaku pada 431 hingga 404 Sebelum Masihi,” jelas Maloney.

Harga beras di pasaran Malaysia mengalami kenaikan harga bermula Julai 2023.

Sehubungan itu, harus difahamkan bahawa perkara sebegitu  juga berlaku pada zaman ini, yang menyaksikan mata wang kertas dan elektronik digunakan sebagai alat tukaran akan tetapi perbezaannya ialah mata wang sebegini dikawal oleh setiap bank di negara-negara seluruh dunia; dan bukannya kerajaan negara-negara tersebut.

Namun, setiap bank mempunyai kelebihan yang amat kuat dalam mengawal sistem mata wang di negero masing-masing yang membolehkannya untuk mengawal apa jua politik dan sosial sesebuah negara.

Wang kertas hapuskan emas

Bekas pakar perbankan Islam, Nik Mahani Mohamad dalam buku karyanya yang berjudul, Rethinking The Islamic Financial System membuktikan fakta tersebut melalui lipatan sejarah ekonomi dunia khususnya yang diperlihatkan dalam Revolusi Perancis 1789, Kejatuhan Daulah Uthmaniyah dan seumpama dengannya.

Menurut beliau, revolusi tersebut telah dibiayai oleh pihak perbankan yang bersembunyi di sebalik golongan ahli falsafah seperti Maximilien Roberspierre, bertujuan untuk memusnahkan sistem ekonomi berasaskan emas dan perak serta digantikan dengan penggunaan wang kertas.

Buku karya Nik Mahani Mohamad berjudul Rethinking The Islamic Financial System

Ketegangan ekonomi  tersebut berpunca apabila kerajaan monarki Perancis ketika itu mempunyai hutang yang amat banyak kepada golongan bank yang menyebabkan Raja Louis XVI terpaksa menaikkan cukai terhadap setiap rakyatnya.

Ini menyebabkan berlakunya kemarahan rakyat terhadap raja tersebut kerana dijadikan sebagai cagaran dalam membayar semula hutang-hutang kerajaan beserta kadar faedahnya dan ini yang menyebabkan berlakunya gerakan revolusi menjatuhkan kerajaan tersebut.

Kesannya, menurut tulisan beliau lagi ialah tiada lagi wujudnya institusi sistem beraja dalam negara Perancis dan negara tersebut telah menjadi kawalan golongan bank melalui sistem ekonomi wang kertas seperti sekarang yang diikuti dengan wang elektronik.

Setiap penggunaan mata wang yang ada di negara ini adalah berasaskan hutang kerana dikawal oleh industri-industri hutang (bank) yang mengaut pelbagai jenis keuntungan dengan memberikan hutang kepada kerajaan dan rakyat.

“Tindakan sebegini turut menyumbang kepada kejatuhan Daulah Uthmaniyah, penjajahan oleh kuasa-kuasa barat dan berlakunya kezaliman politik dan sosial terhadap rakyat di pelbagai negara termasuklah Iraq, Palestin, Mesir, dan Syria serta Venezuela,” jelas buku Nik Mahani itu.

Sehubungan itu, Malaysia juga tidak terkecuali menghadapi pelbagai krisis kewangan akibat daripada sistem tersebut, lebih-lebih lagi jika kerajaan sentiasa berhutang lebih daripada kemampuan yang menyebabkan hutang kerajaan telah mencapai trilion ringgit.

Kesannya, berlakunya setiap bencana kewangan berbentuk inflasi terhadap rakyat negara ini termasuklah kenaikan harga barangan keperluan harian seperti makanan dan minuman, minyak, rumah, dan terbaharu beras.

Ringgit Malaysia jatuh, simpan emas

Bukan itu sahaja, malah perkara tersebut menyebabkan semakin ramai rakyat di negara ini terpaksa diisytiharkan muflis akibat daripada kejatuhan nilai mata wang di negara ini.

Kesimpulannya, fakta  ini jelas membuktikan bahawa emas adalah wang yang amat penting dalam ekonomi Islam memandangkan penggunaannya mampu menyelesaikan pelbagai krisis politik dan sosial dalam sesebuah negara.

Perbezaan antara nilai mata wang kertas dan emas untuk jangka masa panjang.

“Ini dibuktikan dengan rekod logam tersebut yang sentiasa berjaya mengekalkan nilainya tanpa sebarang apa pun hutang dan perkara ini,” akui Dr. Helmi.

Pada 1997, ketika Malaysia turut terkena tempias  krisis kegawatan ekonomi yang melanda Asia Tenggara, ringgit cuba dimanipulasikan oleh forex trader yang menjatuhkan nilainya daripada paras RM2.50/USD jatuh ke paras RM4.00/USD; namun Tun Mahathir telah bertindak menambat nilai ringgit dengan emas, lalu ringgit stabil ke paras RM3.50/USD.

Daripada peristiwa itu, boleh disimpulkan bahawa emas mampu meningkatkan nilai mata wang, apatah lagi jika kita sendiri yang menyimpan emas sebagai simpanan kekayaan keluarga kita.

Malah Tun Mahathir pernah menasihatkan orang ramai supaya menyimpan emas berbanding mata wang kerana nilai emas lebih terjamin dan sukar untuk jatuh merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Dis 2010.

“Nilai mata wang tidak terjamin kerana ia bergantung kepada pasaran tukaran mata wang dunia yang sentiasa berubah-ubah. Ada kalanya nilai mata wang akan jatuh dengan teruk apabila berlaku sesuatu krisis kewangan di dalam sesebuah negara.

“Mata wang hanyalah sehelai kertas yang digunakan untuk mewakili nilai tertentu tetapi bukan nilai sebenar, namun emas boleh mewakili nilai sebenar kerana ia sebuah logam berharga di seluruh dunia.

“Simpanan emas lebih terjamin kerana fungsi komoditi itu sebagai penyimpan nilai kalis inflasi dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan ekonomi global yang sedang melanda ekonomi dunia ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2023

- Advertisement -