‘DAP yang bising itu tidak tinggal di Kelantan’

- Advertisement -

ISU kes saman peniaga wanita berpakaian tidak sopan di Kota Bharu telah selesai. Bukannya dengan cara membatalkan saman sebagaimana dilaung-laung oleh Menteri DAP tetapi setelah bapa angkat wanita berkenaan yang juga seorang peniaga kedai kopi di Kota Bharu membayar kompaun RM50 di MPKB-BI pada 28 Jun lalu bagi pihak anak angkatnya.

Kata Encik See Yeap Seng, beliau membayar kompaun berkenaan dengan rela hati setelah berpuas-hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak MPKB-BI apabila beliau ke pejabat mereka.

Akhbar The Star hari ini membuat laporan bawah tajuk ‘Call to cut the story short’ Encik See yang berasal dan dibesarkan di Kelantan, tidak mahu isu ini dipanjang-panjangkan. Sebagai anak Kelantan beliau menghormati cara hidup masyarakat majoriti Islam di sini tetapi kesal apabila ada pihak tertentu mahu mempolitikkannya.

Kata beliau (sebagaimana dilaporkan The Star): “Saya mahu perkara ini dihentikan. Saya menerima pendidikan Melayu. Dan rakan-rakan perniagaan saya semuanya berketurunan Melayu dan saya faham amalan agama Islam.”

Tambah beliau isu ini tidak harus dipolitikkan kerana masyarakat Islam dan bukan-Islam bergaul dengan mesra dan hidup secara harmoni di Kelantan.

Malah katanya lagi Kopitiam yang beliau usahakan di Kota Baru ada ruang surau untuk umat Islam bersembahyang.

Menurut Encik See lagi: “Yang banyak buat bising berkenaan isu ini tidak tinggal di negeri ini. Kami yang tinggal di Kelantan. Dan apa yang kami rakyat Kelantan mahukan adalah hidup dalam keadaan aman dan harmoni.”

Sabtu lepas Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dari DAP Nga Kor Ming menyatakan bahawa MPKB telah bersetuju menarik balik saman terhadap wanita berkenaan.

Betul ke Menteri ini? Encik See kata sudah berpuas hati dan telah pun bayar saman manakala Menteri dakwa saman telah ditarik balik.

Cukup-cukuplah dengan politik perkauman dan mengadu-domba antara umat Islam dengan bukan-Islam. Rakyat Kelantan lebih cerdik dan pandai menguruskan rumahtangga mereka sendiri dari Menteri DAP yang hanya pandai menghasut dan membuat bising.

Syabas Encik See, semoga kita semua dapat mencontohi sikap baik beliau.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR 
Setiausaha 
Badan Perhubungan PAS
Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 3/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -