
PENDAHULUAN
Pada 29 Jun baru-baru ini, tular dilaporkan mengenai seorang Menteri yang menceroboh masuk dan mencetuskan kekecohan di balai ketibaan Antarabangsa KLIA bagi menyelamatkan wanita warga Cina yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
“Bila dihalang, dia menggunakan kuasa menterinya dan marah Polis Bantuan KLIA dan pegawai Imigresen kerana mahu menyelamatkan wanita warga China itu,” demikian dilaporkan oleh sebuah portal.
Tiong sedang menyelamatkan pintu masuk negara daripada rasuah?
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing kemudian mengakui bahawa individu itu ialah dirinya dan berkata kekecohan itu berlaku kerana beliau sedang ‘membongkar peristiwa memalukan negara’.
Beliau seterusnya mendakwa berlakunya budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
Berita semalam pula, Tiong meminta siasatan dan tindakan diambil terhadap ‘pegawai imigresen’ yang membocorkan insiden ‘serbuan’ beliau di media sosial.
Ulasan Menteri Pengangkutan
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika mengulas insiden itu memaklumkan bahawa setiap ahli Jemaah Menteri mempunyai pas khas (VIP) untuk memasuki setiap ruang KLIA dan Tiong didapati memasuki kawasan KLIA dengan diiringi oleh polis bantuan dan anggota keselamatan MAHSB.
Mengulas lanjut Anthony Loke berkata siasatan lanjut berhubung insiden itu akan dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan akan dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.
Menimbulkan sejuta persoalan
Siapakah pelancong China itu? Kenapakah beliau ditahan oleh pihak Imigresen? Siapakah pegawai yang menerima rasuah? Apakah bukti pegawai itu meminta atau menerima rasuah? Apakah Jabatan Imigresen tiada SOP untuk menghalang rasuah di pintu masuk negara?
Adakah kuasa Menteri tidak terhad sehingga boleh melanggar SOP Keselamatan KLIA sesuka hati? Adakah setiap jabatan mesti patuh dan menerima pakai arahan setiap Menteri dalam Jemaah Menteri?
Apakah setiap Menteri berhak menyiasat, menuduh dan menjatuhkan hukuman kepada seseorang penjawat awam tanpa mengambil kira proses siasatan dalaman, siasatan polis dan siasatan SPRM? Apakah seseorang Menteri memiliki semua kuasa SPRM dan PDRM? Dan kuasa mahkamah?!
Persoalan selanjutnya, apakah nasib pegawai Imigresen yang terlibat dalam insiden ini? Adakah mereka akan mendapat keadilan atau pembelaan kerana yang mendakwa bertaraf Menteri? Mampukah ketua Jabatan mereka mempertahankan mereka untuk mendapatkan perbicaraan yang adil? Dan banyak lagi persoalan lain.
Memerangi rasuah dalam konteks Kerajaan Madani
Mungkin apabila melihat agenda ‘memerangi rasuah’ oleh YAB Perdana Menteri dan YAB Timbalan Perdana Menteri hanya terhad kepada mengenakan pelbagai tuduhan ‘rasuah’ kepada lawan politiknya semata-mata, maka Menteri Pelancongan Kerajaan Madani mengambil inisiatif yang lebih kreatif.
Beliau seterusnya mengisytiharkan rasuah berlaku secara serius di negara ini dengan menuduh pegawai imigresen mengambil rasuah dan telefon bimbit pelancong asing tanpa sebab di pintu masuk negara, setelah beliau membuat ‘serbuan’.
‘Serbuan’ beliau kononnya bagi menghapuskan rasuah di pintu masuk negara akhirnya berjaya merosakkan ‘imej negara’ di mata dunia sebagai negara yang masih lagi tidak mempunyai undang-undang dan amalan pentadbiran yang mantap untuk memerangi rasuah.
Penutup
Menteri Kerajaan Madani sepatutnya menjadi contoh dalam menghormati Rukun Negara berkaitan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam bertindak.
Sekarang terpulang kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) dan Jemaah Menteri, adakah tindakan Menteri Pelancongan itu akan terus disokong dan dibela oleh Kerajaan Madani. Atau adakah di sana akan ada ‘kambing hitam’ yang akan dikorbankan?
Jika ia terus dibela tanpa tindakan tegas terhadap Tiong, ia hanya menggambarkan Malaysia sudah menjadi Kerajaan Rimbadani, bukan Kerajaan Madani.
Nilai Ringgit tentu akan lagi teruk merudum. Mungkin nilai 1 USD akan lebih tinggi daripada RM5. Ringgit ketika itu akan dikenali sebagai ‘menu rahmah’ dalam kadar tukaran mata wang Antarabangsa.
USTAZ ZAKARIA ISMAIL
Marang
2 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 2/7/2023




















