19 jam perjalanan dari KL ke Kuala Krai

- Advertisement -

KUALA KRAI: Tanggapan banyak pihak kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha di Kelantan lebih meriah tidak dapat dinafikan lagi apabila anak perantau tetap pulang ke kampung biar pun cuti umum pendek di Pantai Barat kecuali Kedah.

- Advertisement -

Situasi itu mengulangi suasana seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, di mana kesesakan lalu lintas tetap juga berlaku. Malah ramai menyifatkan keadaan lebih teruk kerana perantau pulang ke kampung hampir serentak pada hari yang sama.

Sedangkan cuti umum dan persekolahan ketika sambutan Aidilfitri lebih panjang membolehkan ibu bapa merancang perjalanan, namun sambutan Hari Raya Korban cuti lebih singkat.

Kesesakan jalan raya bermula pada Rabu, di mana deretan kenderaan memasuki Kelantan dari segenap jalan utama termasuk dari arah Kuala Lipis, Gerik dan Jertih.

Di laluan Timur-Barat deretan kenderaan menghala ke Jeli boleh dilihat di Hentian dan Rehat (R&R) Perah, R&R Lebey dan R&R Titiwangsa. Kesesakan juga berlaku di Bukit Bunga Jeli.

Seorang perantau dari Kulim, Nizam Darus, 45, berkata, banyak kenderaan diletak di tepi jalan berhampiran R&R Titiwangsa kerana parkir disediakan penuh.

“Deretan kenderaan mulai perlahan ketika menuruni Banjaran Titiwangsa sehingga ke Jeli dan Tanah Merah,” katanya.

Pesara guru, Mohd Shukri Mat, 61, dari Kuala Krai berkata, anak buahnya bertolak dari Kuala Lumpur jam 9 pagi Rabu sampai di Kampung Manek Urai jam 4 pagi pagi Hari Raya,” katanya ketika ditemui.

Kesesakan juga berterusan pada Khamis, Jumaat dan semalam apabila setiap jalan utama penuh sesak. Semalam deretan kenderaan bertali arus dari arah Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Kesesakan ketara berlaku dari Ketereh sehingga ke simpang tiga Sungai Durian, Kuala Krai. Ribuan kenderaan terperangkap dan ada yang berpatah balik. Kesesakan berlarutan sehingga ke tengah malam.

Perjalanan dari Labok ke Manek Urai sejauh 60 km mengambil masa lebih 2 jam, di mana kenderaan yang menuju ke ibu kota terpaksa merayap perlahan-lahan.

Laluan agak lancar selepas simpang tiga Guchil menuju ke Gua Musang. – HARAKAHDAILY 2/7/2023

- Advertisement -