
DHAKA: Kebanyakan warga Bangladesh akan menyembelih lembu semasa Hari Raya Aidiladha yang pada tahun ini akan disambut menjelang esok, Khamis (29 Jun), tetapi ada kalangan yang akan bekerja lebih keras, selain yang sedia kaya raya bakal menyambut cuti tahunan dengan haiwan korban yang lebih mahal – dikenali dengan nama unta.
Unta ialah mana-mana satu daripada dua spesies ungulat yang mempunyai bilangan jari kaki yang genap dalam genus Camelus iaitu Camelus dromedarius yang terdapat di Afrika utara dan Asia barat; dan Camelus bactrianus yang biasa terdapat lebih jauh di utara dan timur Asia tengah.
Kedua-dua jenis berasal dari gurun dan kawasan kering Asia dan Afrika utara, dengan jangka hayat purata seekor unta adalah antara 30 hingga 50 tahun.
Dari segi sejarah, manusia telah membela unta jinak sejak lebih kurang 5,000 tahun dahulu, yang mana kedua-dua jenis Camelus dromedarius dan Camelus Bactrianus masih diternak untuk susunya yang lebih berkhasiat berbanding susu ladang, selain untuk dagingnya; serta digunakan sebagai haiwan pengangkut barang atau tunggangan manusia, khususnya di padang pasir.
Unta di Bangladesh
Namun, unta adalah pemandangan yang jarang ditemui di Bangladesh kerana haiwan itu sememangnya bukan spesies asli di rantau ini.
Jika ia kadang-kadang muncul di pasar lembu tempatan, kebanyakannya telah diimport dari India, melainkan didatangkan dari ladang haiwan persendirian yang diternak, khususnya di ibu negara, Dhaka.
Dikenali dengan nama ladang Bab-e-Modina Dewanbagh Sharif, satu-satunya pusat ternakan unta di Bangladesh itu telah ditubuhkan pada tahun 2004; dan pada 2016 jumlah unta ternakan di situ mencecah 36 ekor, sebelum kini hanya tinggal sejumlah 11 ekor unta yang diternak serta untuk dibiak.

“Kami memulakan ternakan unta ini dengan 10 ekor unta yang dibeli dari pasar lembu di Dhaka. Ini semua dibawa dari Rajasthan, India,” kata pengurus ladang itu, Shahar Ali, yang telah bekerja di situ sejak 18 tahun lalu.
“Pada mulanya, orang ramai ragu-ragu sama ada kami akan dapat memelihara haiwan padang pasir di sini dalam iklim di Bangladesh. Tetapi kami berjaya,” jelasnya yang turut memberitahu bahawa selain 11 ekor unta dewasa, ladang itu kini juga mempunyai seekor anak lembu berusia lima bulan.
Ladang ini membekalkan haiwan tersebut hanya untuk majlis-majlis khas dan kepada pelanggan yang sangat kaya, yang mampu membelinya untuk perayaan perayaan yang djuga dikenali sebagai Hari Raya Korban – yang memperingati ujian iman Nabi Ibrahim AS apabila dia diperintahkan oleh Allah SWT untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS tetapi kemudiannya digantikan dengan haiwan korban.
Susu RM18.70 seliter
Umat Islam secara tradisinya menyembelih haiwan seperti biri-biri, kambing, kerbau, lembu, dan unta pada perayaan Aidiladha.
“Orang ramai biasanya melawat ladang kami semasa Aidiladha,” kata Ali.
“Pada hari Ahad (25 Jun) lalu, kami menjual seekor unta kepada pembeli dari Dhaka. Ia dijual pada harga AS$18,000 (RM84,041),” tambahnya.
Secara tetap, ladang itu juga menjual susu unta, juga dan pada harga yang tinggi, empat kali ganda daripada harga susu lembu.
“Di sini (Bangladesh), orang ramai suka susu unta. Kami menjualnya pada harga AS$4 (RM18.70) seliter,” ujarnya yang menambah bahawa pelanggan selalunya biasa dengan unta yang biasa dalam budaya Timur Tengah.
“Saya tinggal di Arab Saudi selama 10 tahun. Sejak itu, saya menyukai unta, ia adalah kawan di padang pasir,” kata seorang bakal pembeli, Alamgir Hossain, kepada Arab News ketika dia melawat ladang itu.

Seorang lelaki lain Sulaiman Hossain pula berkata dia melawat ladang kerana perasaan ingin tahu.
“Unta adalah binatang padang pasir. Saya mendengar tentang ladang unta ini Ladang Unta Babe Madina) beberapa bulan lalu.
“Saya kagum melihat bagaimana unta dibiakkan di Bangladesh tanpa sebarang kewjudan padang pasir,” kongsi Hossain.
Dua tahun baru lahirkan anak
Namun, peluang buat orang ramai untuk pulang dengan salah seekor daripada unta dari ladang itu adalah tipis.
Menurut Ali, tidak mungkin lebih banyak unta akan dijual pada musim Aidiladha kali ini kerana ladang itu berhati-hati untuk memeliharanya dalam jumlah yang mencukupi untuk pembiakan.
“Ia mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mendapatkan anak unta daripada ibunya. Kami memberi mereka jerami, rumput, sekam … Semasa musim panas, unta ini minum sehingga 20 liter air sehari.
“Penternakan unta bukanlah sesuatu yang mudah di Bangladesh,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2023




















