
ALOR SETAR: Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa kononnya beliau tidak memiliki ciri-ciri pemimpin original yang ditarbiah PAS.
“Dalam Islam ni ada pelbagai watak. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, watak-watak pemimpin Khulafa Ar-Rasyidin juga berbeza-beza antara satu sama lain,” ujar Menteri Besar Kedah itu.
Saifuddin baru-baru ini dilaporkan berkata Sanusi tidak memiliki ciri-ciri tarbiah seperti Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.
“Kalau semua yang ditarbiah PAS jadi tok guru, dia (Saifuddin) jadi apa, Dia pun pernah bertanding parlimen atas tiket PAS, dia tarbiah apa, pandai judge orang saja,” kata Sanusi.
Beliau juga berkata, tiada menjadi kesalahan atau ekstrem sekiranya bercakap berkenaan agama, bangsa dan kesultanan raja-raja berikutan kritikan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadapnya.
Perkara itu, katanya termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara di mana Islam menjadi agama rasmi negara selain mendaulatkan kesultanan raja-raja dan hak bangsa Melayu.
“Kalau cakap menyentuh tiga R (race, religion, royal) dianggap ektrem, kena buanglah tiga R tu yang terkandung di dalan Perlembagaan dan Rukun Negara,” ujarnya kepada media selepas Majlis Penyerahan Rasmi Kenderaan Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri susulan DUN Kedah dibubarkan hari ini. Kenderaan berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali
Menurutnya, ucapan beliau itu didakwa Saifuddin Nasution kononnya ektrem kerana menyentuh bangsa, agama dan raja-raja.
“Kenapa sekarang ini depa (PH) bimbang bila kita cakap pasal agama, bangsa dan raja-raja, walhal semua ada dalam Rukun Negara,” kata Sanusi. – HARAKAHDAILY 28/6/2023











