
LONDON: Lebih seratus orang telah mengadakan protes jalanan membantah rancangan kerajaan untuk membuka semula sebuah hotel terkenal di Brighton and Hove, di East Sussex, England, lokasi di mana 136 kanak-kanak hilang.
Kira-kira 150 penunjuk perasaan berkumpul di luar Dewan Perbandaran Brighton pada petang Selasa (27 Jun) untuk tunjuk perasaan dan protes menentang keputusan itu.
Mujda Shahbazi, yang ibunya antara melarikan diri dari Afghanistan ke UK, memberitahu akhbar The Argus bahawa protes itu adalah untuk menunjukkan bahawa Brighton adalah tempat perlindungan pencari suaka bukan tapak eksploitasi golongan tersebut.
“Saya gembira melihat ramai yang hadir memberi sokongan pada hari ini dan saya harap ini dapat membuka mata dan perhatian majlis perbandaran dan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, rangkaian hotel yang dikontrak oleh Pejabat Dalam Negeri UK untuk menempatkan kanak-kanak bawah umur yang mencari suaka di UK tanpa ditemani saudara terdekat telah diarahkan ditutup, selepas didedahkan media pada Januari tahun ini bahawa lebih 400 kanak-kanak pencari suaka hilang sejak skim itu dilancarkan pada Julai 2021, dengan 136 daripadanya gagal dikesan selepas ditempatkan di hotel berkenaan, lapor Middle East Eye pula.

Walaupun pengumuman Menteri Imigresen, Robert Jenrick awal bulan ini bahawa ‘tidak ada sama sekali kanak-kanak yang tidak ditemani saudara terdekat akan ditempatkan di hotel itu’, namun mesej bocor daripada pegawai kanan di hotel pantai selatan mendedahkan bahawa hotel berkenaan akan kembali ‘beroperasi pada 27 Jun (hari ini waktu tempatan)’ untuk kembali menempatkan budak bawah umur yang mencari suaka di UK.
Tindakan itu dibuat selepas mahkamah keluarga UK memutuskan bahawa kanak-kanak tanpa ditemani saudara terdekat yang tiba di UK harus dianggap sebagai ‘kanak-kanak yang memerlukan dan dijaga oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), bukan Pejabat Dalam Negeri’.
Menurut laporan The Guardian, daripada jumlah keseluruhan 400 kanak-kanak bawah umur pencari suaka yang sebelum ini dilaporkan hilang, 154 masih belum dapat dikesan sehingga hari ini, dengan 50 daripadanya adalah daripada 136 kanak-kanak bawah umur yang hilang selepas ditempatkan di hotel berkenaan.

“Beberapa kanak-kanak pencari suaka itu nampaknya telah diperdagangkan dan ditugaskan untuk bekerja oleh perusahaan jenayah di Greater Manchester,” lapor The Guardian.
Keputusan kerajaan itu diselar oleh Ahli Parlimen Hove, Peter Kyle yang melabelkannya sebagai ‘memalukan’ dengan ketua Majlis Bandaraya Brighton and Hove, Bella Sankey, turut mengecamnya.
“Pihak kami akan melawan balik keputusan kerajaan. Kami tahu kerajaan melayan orang ramai seperti kami dengan tanggapan kami semua bodoh dan ini membuktikannya. Saya akan menulis surat rasmi kepada Pejabat Dalam Negeri mengenai isu ini,” kata Kyle. – HARAKAHDAILY 28/6/2023




















