
KUALA LUMPUR: “Pertemuan di Kelantan, legasi, pakat pertahan,” kata Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman dalam catatan ringkas di halaman Facebooknya, semalam.
Difahamkan pertemuan hampir satu jam tersebut berlangsung di Kota Bharu pada Sabtu lalu sempena kehadiran Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Himpunan ‘Ppakat Pertahan’ dan Pelancaran Jentera Pilihanraya Perikatan Nasional Negeri Kelantan di Dataran Warisan, di Kota Bharu.
Pertemuan tersebut sekali gus meredakan desas-desus yang tersebar mengenai kedudukan mantan Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok, Ustaz Nik Mohamad Nik Abdul Aziz yang sebelum ini membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 tempoh hari.
“Alhamdulillah, pertemuan penuh mahabbah dan kekeluargaan. Saling bertanya khabar dan berkongsi pandangan pelbagai tajuk, khususnya politik tempatan dan antarabangsa,” jawapan ringkas Syahir yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PAS ketika dihubungi wartawan Harakahdaily bagi mendapatkan pencerahan.
Menurutnya, Tuan Guru turut bertanya tentang perancangan Ustaz Nik Abduh dan pihak keluarga untuk memajukan institusi pendidikan dan waqaf di Pulau Melaka, pusaka ilmu yang diwariskan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Pada sidang media selepas berucap pada Himpunan ‘Ppakat Pertahan’ Tuan Guru turut ditanya mengenai kemungkinan Ustaz Nik Abduh dicalonkan semula dalam pilihan raya negeri (PRN).
Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang memberikan jawapan ringkas, “Tunggu hari penamaan calon, tengok nama dia naik ke tidak,”.
Dewan Undangan Negeri Kelantan telah dibubarkan pada 22 Jun yang lalu, dan PAS Kelantan mengemukakan tema “Ppakat Pertahan” bagi menghadapi PRN yang dijangka berlangsung awal Ogos ini. – HARAKAHDAILY 26/6/2023




















