
KANGAR: Penamatan lesen judi secara berperingkat di Perlis merupakan tindakan bijak yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Ts. Dr. Mohd Saifizi Saidon berkata, ia adalah bagi membolehkan setiap premis judi dapat membuat persediaan awal menghentikan operasi perniagaan judi tersebut.
“Tindakan itu akan memberi kesan baik kepada masyarakat berbilang bangsa kerana judi merupakan amalan yang boleh merosakan keharmonian institusi kekeluargaan.
“Lebih lagi, impak negatif judi juga boleh melahirkan sikap pemalas dalam masyarakat yang berangan-angan tanpa usaha,” katanya.
Menurut beliau, di samping itu, kerajaan juga perlu aktif membanteras segala jenis perjudian tanpa lesen.
“Saya mencadangkan pihak kerajaan mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan seluruh agensi kerajaan untuk turut membanteras segala jenis perjudian yang tidak berlesan.
“Tindakan menamatkan judi berlesan mungkin akan memberi kesan berkembangnya kumpulan yang akan menawarkan peluang perjudian yang tidak berlesen,” katanya lagi.
Selain itu, beliau juga mencadangkan agar pihak kerajaan turut menjalankan penguatkuasaan terhadap budaya judi di kalangan kanak-kanak berbentuk permainan.
“Saya menyarankan, pihak kerajaan serta penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) juga turut menangani budaya perjudian dalam kalangan kanak-kanak berbentuk permainan.
“Ini sebagai langkah awal mendidik masyarakat dan anak-anak untuk menjauhi amalan judi yang kita tidak sedari,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bertemu mana-mana pemegang lesen premis judi di Perlis bagi menjelaskan keputusan muktamad kerajaan negeri.
“Saya yakin rakyat negeri ini akan bersama saya membanteras penyakit ketagihan judi dan menyokong usaha kerajaan negeri menghentikan operasi premis judi di sekitar Perlis.
Fasa seterusnya selepas pelaksanaan ini adalah kita juga akan mengesan aktiviti-aktiviti judi haram (tidak berlesen) yang beroperasi dalam usaha menghapuskan sepenuhnya kegiatan itu di negeri ini,” katanya.
Terdapat enam premis perjudian masih beroperasi di negeri ini iaitu tiga daripadanya di Kangar, dua di Arau dan sebuah lagi di Kuala Perlis. – HARAKAHDAILY 20/6/2023




















