
KOTA BHARU: Pada era 1990-an Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah dinobat Menteri Kewangan terbaik, namun selepas lebih enam bulan kembali menerajui kementerian sama, ekonomi negara seperti tiada hala tuju.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sehingga sekarang kementerian terbabit dilihat belum ada sebarang pelan tindakan sehingga kehidupan rakyat semakin terhimpit.
Katanya keadaan ekonomi negara semakin merosot di mana paling ketara nilai Ringgit terus jatuh.
“Kita pun tidak tahu apa yang dimaksud terbaik sebelum ini, sedang sekarang orang yang sama kembali merajui Kementerian Kewangan keadaan ekonomi terus merosot,” katanya pada ceramah jelajah Ppertahan Kelantan di Simpang Tiga Pengkalan Chepa malam tadi.
Hadir sama Timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa Dato’ Dr Izani Husin, Naib YDP Ahmad Fathan Mahmood, Ketua Penerangan Dato’ Ahmad Marzuk Shaary dan aktivis politik Badrul Hisham Shaharin.
Orang ramai memenuhi perkarangan tempat ceramah berhampiran pasar, manakala lebih 2,000 mengikuti secara atas talian menerusi lima medium media sosial termasuk Tiktok.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PAS Kelantan sedang mempersiapkan calon-calon pelapis bagi meneruskan kepimpinan ulama untuk menggantikan pemimpin yang ada sekarang.
“Pada pilihan raya kali ini kita menampilkan kira-kira 30 peratus muka baharu yang terdiri daripada pelbagai profesion di mana sekarang sedang melalui proses tapisan oleh Majlis Syura Ulama,” ujarnya.
Sementara itu Chegu Bard pula berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi mampu menjadi referendum rakyat bagi menghantar isyarat kerajaan Madani bakal bertukar tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 18/6/2023




















