Kelantan sasar pengeluar utama daging negara

Kelantan kini mengorak langkah melalui Pelaksanaan Projek Penternakan Lembu Pedaging (Hibrid).
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan menyasarkan muncul sebagai pengeluar daging utama di negara ini melalui pelaksanaan Projek Penternakan Lembu Pedaging (Hibrid).

- Advertisement -

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, program itu dilaksanakan di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan.

Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.89 juta sebagai usaha dan inisiatif membangunkan projek berkenaan.

“Peruntukan RM1.89 juta meliputi ternakan lembu pedaging di Ladang Rong Chenok Pasir Mas di kawasan seluas 100 ekar yang akan dibawa masuk pada September hadapan. 

“Populasi lembu hibrid berkualiti di Kelantan sekarang sebanyak 24,291 ekor. Manakala bilangan penternak pula 5,500 orang.

Ahmad Yakob (kanan) menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records dan majlis perasmian Hari Peladang, Peternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2023 di Pantai Irama, Kota Bharu, Kelantan pada hari ini, 15 Jun 2023.

“Nilai ternakan itu lebih RM193 juta dan pengeluaran daging pula sebanyak 5,518.2 tan metrik. Selain itu juga sebanyak 22 ladang pengeluar diiktiraf oleh Jabatan Veterinar sebagai pengeluar daging hibrid NAimBif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2023 di Pantai Irama, di sini, hari ini.

Dalam program perasmian tersebut, Menteri Besar menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records atas catatan Rekod Malaysia Himpunan Terbesar Lembu Hibrid.

Sijil pengiktirafan tersebut diserahkan wakil rasmi Malaysia Book of Records, Accounts Executive Malaysia Book of Records Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi.

Hari Peladang tersebut menghimpunkan sebanyak 213 ekor lembu hibrid dari seluruh Kelantan dengan penyertaan seramai 113 penternak. Lembu tersebut dianggar bernilai lebih RM2 juta. – HARAKAHDAILY 15/6/2023

- Advertisement -