Kalimah Allah: Kerajaan gagal yakinkan umat Islam

- Advertisement -

BARU-baru ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran seperti yang dilaporkan media-media tempatan.

Kes ini bermula daripada berlakunya rampasan bahan berkaitan daripada seorang wanita Kristian berbangsa Melanau, Jill Ireland di Terminal Tambang Murah LCCT Sepang dengan keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Tindakan KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan ini benar-benar mengejutkan seluruh umat Islam di Malaysia yang mengikuti perjalanan kes ini daripada mula.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan media berkaitan perkara ini berkata, penarikan ini dilakukan kerana keputusan Mahkamah Tinggi itu hanya berkisar kepada isu pentadbiran kerana terdapat percanggahan antara Keputusan Jemaah Menteri Kabinet pada 19 Mei 1986 dengan Arahan Pentadbiran oleh KDN 5 Disember 1986 (berdasarkan Akta Mesin Cetak 1984).

Saifuddin juga mengatakan dalam kenyataan yang sama bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu bukan bermaksud sebagai satu kebenaran untuk orang bukan-Islam untuk menggunakan kalimah Allah tersebut, tetapi ia ditolak kerana terdapat dua arahan yang bercanggah daripada KDN dan Kabinet yang dikeluarkan pada tahun 1986.

Kenyataan ini dilihat sangat kabur dan mengelirukan serta tidak memberi satu keyakinan kepada orang ramai bahawa tindakan kerajaan ini tidak mendatangkan kerugian kepada umat Islam.

Sekiranya penghakiman tersebut tidak menjuruskan kepada kebenaran kepada orang bukan-Islam untuk menggunakan kalimah Allah adakah ini bermaksud peraturan asal bahawa penggunaannya kepada bukan Islam masih kekal dilarang?

Umat Islam di Malaysia tertanya-tanya apa kedudukan sebenar penggunaan kalimah Allah oleh bukan-Islam sekiranya berlaku lagi perkara yang sama pada masa ini? 

Sekiranya ia adalah isu pentadbiran kerajaan harus membuat tindakan segera dengan memperbetulkan apa sahaja kesilapan atau kecacatan dalam undang-undang dalam perkara ini sehingga penggunaan kalimah Allah ini benar-benar dilindungi.

USTAZ SUDIN NOOH
Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Melaka
YDP PAS Kawasan Kota Melaka – HARAKAHDAILY 15/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -