
KUALA LANGAT: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, bagi sesebuah negeri yang cantiknya ialah Menteri Besar hendaklah daripada kalangan anak negeri.
Ini, katanya kerana citarasa urus tadbir itu lebih dirasai atau citra kepada urusan pentadbiran itu hanya benar-benar dapat didukungi apabila mereka adalah anak negeri.
“Kita tidak meletakkan `poster boy’ atau calon Menteri Besar sebagai satu tumpuan yang mengatasi daripada segala-galanya.
“Sebab saya bincangkan dalam PAS dan suarakan di peringkat PERIKATAN NASIONAL Negeri Selangor, fokus kita yang utama adalah untuk menang atau menawan Negeri Selangor,” ujarnya kepada Harakahdaily semasa ditemui, baru-baru ini.
Menruutnya, apa makna meletakkan `poster boy’ sampai ada pihak yang terasa.
“Insya Allah, kita fokus untuk menang. Kita mempunyai calon-calon yang berwibawa insya Allah untuk menjadi menteri besar,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat.
Bagaimanapun, jelas beliau urusan perlantikan menteri besar adalah kuasa eksekutif Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
“Kita berpengalaman apabila hendak melantik menteri besar, kita ikut apa kehendak Istana hantar dua nama, kita hantar dua nama.
“Namun ada parti yang engkar pada arahan itu, jadi ini bukan sesuatu yang baik untuk kita membina sebuah kerajaan,” ujarnya.
Menurutnya, Pengerusi PN Selangor, Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali bersetuju untuk tidak meletakkan siapa yang akan menjadi menteri besar dan yang penting menawan negeri dahulu pada PRN nanti. – HARAKAHDAILY 14/6/2023




















