Tahanan Palestin korban mogok lapar di penjara Israel

Khader Adnan telah memulakan mogok lapar sejurus selepas ditangkap dan dipenjarakan oleh Israel pada 5 Feb 2023. (FOTO: Arab News)
- Advertisement -

BAITULMAQDIS: Pejuang Palestin di Gaza telah melancarkan roket pada Selasa (2 Mei) selepas kematian seorang tokoh terkemuka Palestin dalam kumpulan Jihad Islam di penjara Israel, selepas melancarkan mogok lapar selama hampir tiga bulan.

Kematian Khader Adnan yang memulakan mogoknya sejurus selepas ditangkap pada 5 Feb lalu itu telah meningkatkan konflik antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin semasa tempoh ketegangan yang sudah tinggi, lapor Arab News.

Terdahulu, Adnan telah melakukan mogok lapar beberapa kali selepas penahanannya sebelum ini, termasuk mogok selama 55 hari pada tahun 2015 untuk membantah penahanannya di bawah kuasa apa yang dipanggil tahanan pentadbiran, yang mana suspek ditahan selama-lamanya tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

- Advertisement -

Perkhidmatan penjara Israel berkata Adnan telah didakwa kali ini dengan ‘penglibatan dalam aktiviti keganasan’ tetapi telah menolak rawatan perubatan sementara prosiding undang-undang bergerak ke hadapan. 

Menurut laporan, Adnan ditemui tidak sedarkan diri di dalam penjaranya awal hari ini, dan dipindahkan ke hospital di mana dia disahkan meninggal dunia.

Menurut kumpulan hak asasi manusia Israel HaMoked, Israel kini menahan lebih 1,000 tahanan Palestin tanpa sabit kesalahan,  tuduhan atau perbicaraan, jumlah tertinggi sejak 2003.

Angka itu telah meningkat pada tahun lalu apabila Israel telah melakukan serbuan penangkapan hampir setiap malam di Tebing Barat yang diduduki susulan rentetan serangan maut Palestin di Israel pada awal 2022.

Israel berkata taktik kontroversi itu membantu pihak berkuasa menggagalkan serangan dan menahan individu yang disifatkannya sebagai ‘militan berbahaya’ tanpa mendedahkan sebarang bukti sabit tuduhan dan kesalahan, kononnya atas sebab keselamatan.

Penduduk Palestin dan kumpulan hak asasi manusia Israel berkata sistem itu disalahgunakan secara meluas oleh Israel yang menafikan proses yang sewajarnya, dengan sifat rahsia bukti menyebabkan tahanan pentadbiran atau peguam mereka tidak dapat mengadakan pembelaan diri. – HARAKAHDAILY 2/5/2023

- Advertisement -