Rumah Terbuka Aidilfitri bebas maksiat, dosa

Rumah Terbuka Aidilfitri mampu menjadi medan pertemuan untuk mengetahui perkembangan kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

Lazimnya, Aidilfitri hanya disambut pada 1 Syawal sahaja di seluruh dunia. Namun bagi masyarakat Islam di Malaysia, tradisi ini dilanjutkan selama sebulan Syawal.

Ia diwarnai dengan tradisi rumah terbuka yang diadakan oleh orang perseorangan, komuniti, pihak masjid, syarikat swasta dan organisasi kerajaan.

Pada kebiasaannya, rumah terbuka biasa diadakan hanya pada awal Syawal. Tetamu bebas datang menziarahi tuan rumah pada awal Syawal.   

- Advertisement -

Namun begitu, tradisi ini dikembangkan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim sempena kedatangan Syawal. Ia menjadi medan pertemuan untuk mengetahui perkembangan kaum keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.

Selain itu, menjadi tradisi turun-temurun ketika sambutan aidilfitri, ramai orang yang pulang ke kampung halaman dan ada yang mengerjakan ibadah umrah serta ada yang mempunyai pelbagai komitmen dan kekangan lain. 

Di samping itu, turut menjadi trend masa kini, ramai orang yang mengambil kesempatan bagi meraikan cuti panjang aidilfitri bersama keluarga dengan bercuti di pusat pelancongan dan ke luar negara.

Pelbagai situasi yang berlaku ini menjadi sebab kenapa pintu rumah mereka ditutup dan tidak dapat diziarahi pada hari raya. 

Jadi sebagai gantinya, satu hari dalam bulan Syawal akan diperuntukkan untuk melayan dan menjamu tetamu dengan makanan selepas pulang dari kampung halaman atau bercuti.

Secara asasnya, amalan rumah terbuka ini merupakan uruf atau kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia. Dalam amalan tradisi ini, ia umpama sebuah majlis kenduri atau jamuan makan yang diadakan dalam bulan Syawal dengan tujuan untuk mengeratkan tali silaturrahim. 

Uruf yang baik (sahih) ini menjadi kebiasaan bagi kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia.

Dalam hal yang berkaitan menjamu orang makan ini, Nabi SAW telah menyenaraikan amalan ini sebagai sebahagian ciri-ciri calon ahli syurga. 

Betapa besarnya kelebihan memberi orang makan dan meraikan tetamu yang hadir ke rumah. Nabi SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia! Sebarkanlah salam, berikan makan, solatlah pada waktu malam ketika manusia lain sedang tidur, kamu akan masuk ke syurga dengan selamat.” (HR al-Tirmizi)

Dalam redaksi hadis Nabi SAW yang lain, Nabi menyenaraikan amalan memberi orang makan sebagai amalan yang terbaik dalam Islam. 

Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Ada seseorang yang bertanya kepada Nabi: Islam bagaimanakah yang lebih baik? Nabi menjawab: memberi makan dan memberi salam baik kepada orang yang kamu kenal atau tidak.” (HR al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini terdapat dua perkara yang menunjukkan penghayatan Islam yang terbaik sama ada dari aspek perbuatan, iaitu memberi makan kepada orang lain, bagi menguatkan tubuh badan dan dari aspek perkataan, iaitu mengucapkan salam sama ada kepada orang yang dikenali atau tidak.

Selaras dengan itu, amalan meraikan tetamu dengan menyediakan jamuan makanan adalah sebahagian daripada tindakan yang digalakkan dalam Islam. 

Ia boleh dilakukan dalam skala yang besar atau kecil, dalam pelbagai situasi tanpa terikat dengan ikatan masa sama ada dalam bulan Syawal atau di luar Syawal. 

Namun begitu, dalam masyarakat Islam di Malaysia, tradisi rumah terbuka lebih khusus diadakan dalam bulan Syawal sempena meraikan Aidilfitri.

Selain itu, dalam mengadakan rumah terbuka, tuan rumah atau penganjur perlu memastikan bahawa tiada perkara yang melibatkan larangan syarak atau maksiat dan dosa. 

Ia termasuklah yang pertama, tiada perkara yang melalaikan sehingga meninggalkan yang fardhu. Dengan kata lain, kesibukan dalam melayani tetamu dan keasyikan tetamu dalam menikmati makanan yang dihidangkan tidak melalaikan mereka dari mengerjakan solat fardu.

Kedua, tiada pergaulan tanpa batasan. Tetamu yang hadir tidak terlibat dalam pergaulan bebas yang dilarang Syarak hingga mendorong kepada nafsu syahwat dan perbuatan zina kemudiannya. 

Ketiga, tiada pembaziran yang melampau sama ada di pihak tuan rumah dan tetamu. Di pihak tuan rumah, makanan dan minuman yang disediakan adalah halalan tayyiban dan tidak berlebihan hingga menyebabkan terpaksa dibuang akibat tidak habis. Sementara di pihak tetamu, makanan yang diambil tidak melebihi kapasiti perut hingga terpaksa ditinggalkan di atas meja. 

Keempat, tiada hiburan yang berlebihan hingga menyebabkan kelalaian dan meninggalkan kefardhuan.

Jelas sekali, di sebalik galakan untuk menjamu orang makan dan dijanjikan syurga, Islam turut bertegas dalam isu yang berkaitan dengan pembaziran kerana Allah SWT tidak menyukai orang yang membazir. 

Ini kerana menurut  al-Qur’an, gesaan ini disebut dalam ayat 31, surah al-A’raf yang berbunyi: “.. dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Bahkan perbuatan ini bertentangan dengan objektif sambutan Aidilfitri bagi meraikan kemenangan mengatasi rasa lapar dan dahaga di siang hari selama sebulan. Sewajarnya ia menimbulkan keinsafan dalam baki sebelas bulan yang lain.

Sebagai konklusinya, tradisi rumah terbuka ini merupakan amalan unik yang terdapat di Malaysia dan tidak terdapat di tempat lain. 

Ia merupakan satu bentuk uruf setempat di Malaysia. Amalan ini bersifat baik jika ia selari dengan tuntutan syariat dan tiada perkara yang dilarang syarak, dan sebaliknya ia boleh menjadi amalan yang tidak baik jika wujudnya perkara yang diharamkan.

Oleh itu, bagi melestarikan tradisi ini dalam masyarakat Islam, setiap larangan syarak perlu dihindari agar objektif sambutan aidilfitri dan tujuan menjamu makan kepada orang ramai untuk mencapai keredhaan Allah SAW dapat diraih, sekali gus termasuk dalam amalan yang membawa ke syurga dapat dicapai. – HARAKAHDAILY 2/5/2023

Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli ialah pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. (Penulis boleh dihubungi di e-mel: [email protected])

PENAFIAN: HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -