
MASALAH biasa di kalangan orang kampung, bila accident mereka tak nak buat report polis.
“Alaa… accident sama-sama kita orang sekampung, boleh buat pakat saja. Sebab apa sampai nak buat report polis?”
Tanggapannya, bila accident dan dibuat report polis, orang ini adalah orang yang tak boleh nak dibuat kira bicara dan tak pandai hidup bermasyarakat. Kira nak gaduh saja! Sebahagian masyarakat memandangnya dengan pandangan negatif!
Sedangkan kita naik kereta motor wajib bayar insurans setiap tahun bila nak sambung roadtax. Bila accident kita layak dapat hak kita untuk claim insuran. Bukan setakat untuk baiki kerosakan kereta motor, tetapi juga ganti rugi andai berlaku kecederaan. Sebatang gigi yang patah boleh claim RM7,000. Patah tulang boleh claim sehingga RM25,000.
Dokumen penting untuk nak claim insurans ialah report polis sama ada dalam kemalangan itu kita yang bersalah atau tidak.
Report polis bukanlah maknanya kita nak bergaduh dan tak boleh diajak berdamai. Tanggapan ini perlu diubah.
Ia sekadar satu proses undang-undang untuk kita dapatkan hak kita sebagai pengguna. Report polis dalam kes kemalangan bukan bertujuan kita nak supaya lawan kita ditangkap masuk jel! Tanpa report polis, pelbagai urusan lain menjadi tak cukup dokumen untuk diproses.
Biasa kita dengar dialog bila berlaku kemalangan. “Ginilah… benda berlaku doh. Takdir tuhan bukan boleh elak pun. Kita pakat baik-baik. Demo baiki kereta demo, kawe baiki kereta kawe. Sama-sama kita kira tak payoh buat report ah!”
Saya yakin tauke syarikat insurans sangat gembira dengan dialog di atas ini. Setiap tahun kita bayar insuran. Bila accident kita pakat terima takdir untuk baiki kereta masing-masing dengan poket sendiri.
YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu – HARAKAHDAILY 2/5/2023











