
BACHOK: PAS Kelantan sehingga kini telah mengadakan program solat hajat dan munajat pusingan ketiga yang diadakan di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Hassan Mohamood berkata, aktiviti itu diadakan di 45 Dun dan 14 kawasan parlimen di Kelantan.
“Program tersebut mula dilaksanakan pada pertengahan tahun lalu bakal menjadi teras kekuatan PAS dan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRN,” katanya ketika ditemui selepas majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Dun Tawang di Kompleks Masjid Daruttarbiah Kampung Wakaf Zin, di sini, semalam.
Turut hadir Ahli Parlimen Bachok Syahir Che Sulaiman dan Ketua Pemuda PAS Bachok, Mohd Firdaus Mohd Nawi.
Menurut Hassan, program solat hajat dan munajat PRN telah iadakan secara berterusan termasuk ketika musim banjir melanda sebelum ini; di sepanjang Ramadan dan sekarang ini, sempena Hari Raya Aidilfitri
“Kini, program berkenaan susah memasuki pusingan ketiga. Ia tidak putus diadakan sejak tahun lepas lagi, kini sudah memasuki pusingan ketiga.
“Kita akan teruskannya sehingga PRN nanti. Apabila habis pusingan ini, kita akan pergi ke pusingan seterusnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2023




















