Majlis Rumah Terbuka di Kelantan medan kerajaan tunaikan janji

Nik Zawawi (kiri) berharap Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang akan diadakan di Kelantan pada 12 Mei depan bakal membawa berita gembira kerajaan akan tunaikan janji untuk membayar royalti petroleum kepada negeri ini.
- Advertisement -

PASIR PUTEH: Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang akan diadakan kelak di Kelantan diharap menjadi medan untuk kerajaan pusat menunaikan janji membayar royalti petroleum.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, rakyat Kelantan mahu agar kerajaan persekutuan menunaikan janji yang sudah lama tertunggak.

- Advertisement -

“Kita yakin majlis rumah terbuka yang julung-julung kali dianjurkan kerajaan pusat di peringkat negeri akan membawa berita gembira terutamanya membayar royalti minyak kepada Kelantan,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri (JPM)  mengeluarkan kenyataan bahawa Perdana, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu jemputan utama bagi menyantuni pelbagai lapisan rakyat pada Rumah Terbuka Malaysia Madani.

Menteri Besar juga akan dijemput selain jemaah menteri persekutuan. Program itu akan bermula di Kedah pada Sabtu, 29 April di Hotel Raia, Alor Setar.

Di Kelantan pula akan diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada 12 Mei dan di Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) keesokan harinya.

Rumah Terbuka Malaysia Madani juga akan diadakan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. 

Sehubungan itu, ramai yang menyifatkan penganjuran majlis rumah terbuka berkenaan ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri terbabit tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 27/4/2023

- Advertisement -