
Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Itulah perumpamaan yang diungkapkan untuk menggambarkan rasa kerinduan terhadap tempat asal usul atau kampung halaman.
Kebiasaannya, bagi orang yang merantau keluar sama ada dengan tujuan menuntut ilmu, mencari rezeki atau mengikut pasangan, kerinduan kepada kampung halaman merupakan satu lumrah. Ini disebabkan wujudnya rasa ikatan batin yang kuat dengan tempat dilahirkan dan dibesarkan.
Bahkan kampung halaman juga menjadi tempat merawat jiwa yang terbaik kerana suasananya yang tenang dan mendamaikan di samping dapat ketemu insan yang disayangi.
Rasa rindu ini diperkuatkan lagi ketika menyambut perayaan besar dalam Islam khuusnya seperti sambutan Aidil Fitri dan Aidil Adha.
Secara tradisinya, dalam meraikan sambutan raya, kepulangan ke kampung halaman atau bermudik merupakan satu amalan yang dilakukan oleh ramai orang.
Ia termasuk dalam satu agenda yang wajib pada setiap tahun. Malahan boleh menimbulkan konflik rumahtangga dalam pemilihan giliran pulang kampung.
Lazimnya, tradisi balik kampung atau mudik menjadi aktiviti besar-besaran menjelang 1 Syawal. Kemeriahannya semakin dirasai apabila semakin hampir dengan hari raya hinggakan berlaku kesesakan parah di jalan raya dan lebuh raya.
Kepenatan bagaikan tidak terasa walaupun telah melakukan perjalanan yang jauh dalam keadaan berpuasa demi bertemu dengan insan yang disayangi.
Dalam sirah Rasulullah SAW, tercatat satu peristiwa balik ke kampung halaman yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, iaitu pada tahun pembukaan kota Mekah.
Ia berlaku dalam bulan Ramadhan pada tahun ke 8H. Misi ketenteraan ke atas Musyrikin Mekah pada awalnya berakhir dengan cara damai dan tiada darah ditumpahkan.
Dalam peristiwa pembukaan Mekah, Baginda berjaya menguasai kembali tempat kelahiran baginda, sekaligus dapat mengubati rasa rindu kepada Mekah.
Dalam tradisi balik kampung, tiada hadis Nabi SAW secara khusus. Namun begitu, terdapat hadis yang menggalakkan kita untuk berbakti kepada ibu bapa dan juga menghubungkan silaturrahim.
“Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW seraya berkata: Aku berbai’ah kepada kamu untuk berhijrah dan jihad bagi mencari pahala daripada Allah SWT.
Sabda Baginda SAW: “Adakah salah seorang ibu bapa kamu masih hidup? Jawab beliau: “Ya, bahkan kedua-duanya.”
Sabda Baginda SAW: “Adakah kamu ingin mencari pahala daripada Allah? Jawabnya: “Ya.” Lantas sabda Baginda SAW: “Pulanglah kepada ibubapa kamu dan berihsanlah dalam melayani kedua-duanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Dalam situasi balik kampung berhari raya, amalan ini termasuk dalam suruhan berbuat baik dan ihsan kepada kedua ibubapa, iaitu menziarahi mereka, bertanya khabar dan menghubungkan tali silaturrahim.
Dalam hadis yang lain, Nabi SAW turut menggalakkan hubungan silaturrahim: Wahai manusia! Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah sillaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk syurga dengan sejahtera dan selamat. (HR Ibnu Majah).
Jelas sekali, tradisi mudik lebaran termasuk dalam amalan yang beroleh pahala kerana ia dapat menghubungkan silaturrahim antara ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan taulan. Ibaratnya, yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan dan yang rapat dieratkan.
Namun begitu, dalam mengamalkan tradisi mudik, ia turut boleh mengundang dosa dan maksiat. Situasi ini boleh berlaku jika pemandu tidak menjaga adab dan aturan ketika di jalan raya.
Sebagai contohnya melanggar peraturan had laju, melanggar lampu merah, memotong di lorong kecemasan, menjadi samseng jalan raya dengan membuli pemandu lain, memandu dengan berbahaya, dan membuka ruang kepada berlakunya kemalangan hingga menyebabkan kesesakan jalan raya, kerugian harta benda, kecederaan dan kehilangan jiwa.
Sebaliknya, adalah penting untuk kita menjaga adab dan peraturan ketika jalan raya dengan memandu dalam keadaan sopan, berdisiplin dan tertib.
Bagi pemandu yang akan mudik untuk menyambut lebaran, beberapa panduan ringkas boleh dipraktikkan.
Pertama, membaca doa untuk memohon keselamatan dan perlindungan dengan Allah SWT. Kedua, tidak menjadi samseng dan pembuli jalan raya.
Ketiga, tidak melangar peraturan jalanraya. Keempat, membuat perancangan yang teliti umpama memilih masa perjalanan yang disyorkan untuk menghindari kesesakan teruk, memilih laluan yang sesuai, dan mencari tandas dan tempat solat yang tidak padat (seperti keluar dari lebuh raya).
Kelima, membuat persediaan yang mencukupi umpama mendapatkan rehat yang cukup untuk mengelak risiko ‘tidur mikro’ (micro-sleep), menyediakan bekalan makanan asas untuk bersahur atau berbuka, memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan mengisi minyak lebih awal sebelum keluar ke lebuh raya.
Sehubungan dengan itu, dalam meraikan tradisi balik kampung (dan pulang semula ke tempat bekerja seperti di bandar-bandar besar khususnya di Kuala Lumpur), setiap pihak perlu merancang dan membuat persediaan perjalanan dengan baik di samping memandu dengan beradab dan mengikut peraturan.
Jangan menjadi faktor yang menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas. Yang penting, biarkan kepulangan kita disambut dengan rasa suka dan tawa. Jangan biarkan sambutan Aidilfitri kali ini dan yang akan datang (dan juga Aidil Adha kelak) bertukar menjadi tragedi duka dan hiba. – HARAKAHDAILY 26/4/2023

Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli ialah pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. (Penulis boleh dihubungi di e-mel: [email protected])
PENAFIAN: HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.




















