
TANAH MERAH: Di sebalik rekod yang dicatat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa beberapa kawasan di Kelantan berada pada suhu panas pada tahap satu, namun petang semalam hujan lebat telah melanda di Kampung Kusial dan Jerangau dekat sini.
Hujan lebat mencurah-curah di sekitar kawasan tersebut berlaku pada jam 1.45 petang hampir setengah jam sehingga menyebabkan air bertakung di banyak lokasi rendah.
Sebelum itu suhu di sekitar Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah terasa agak membahang, biarpun langit sekali-sekala agak redup yang menggambarkan hujan akan turun.
Hujan yang turun secara tiba-tiba di sekitar Kusial dan Jerangau itu telah menyebabkan ramai penunggang motosikal basah kuyup sebelum sempat mencari tempat berteduh.
Bagaimanapun di kampung berdekatan termasuk Gobek dan Kampung Panjang tidak menerima tempias hujan.
Seorang penduduk tempatan Kamaruddin Yusof, 45, berkata, hujan tidak turun di Kampung Panjang biarpun hujan lebat berlaku di Jerangau yang terletak kira-kira 5 kilometer dari situ.
“Cuaca di sini masih panas dan kering biarpun ada ketikanya terasa tiupan angin yang membawa udara agak lembab,” katanya kepada HarakahDaily.
Semalam Menteri Besar Ustaz Dato Ahmad Yakob mengesa orang ramai menunaikan solat hajat bagi memohon diturunkan hujan di Kelantan ekoran cuaca panas dan kering yang berlaku sejak awal Ramadan lepas.
Sementara MetMalaysia semalam melaporkan suhu tahap satu dikesan berlaku di Kuala Selangor, Jempol, Kuala Terengganu, Kuala Krai, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah di Kelantan serta Beaufort dan Nabawan di Sabah.
Sembilan kawasan berada pada kategori tahap satu atau berjaga-jaga iaitu suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah celcius setakat petang semalam.
Petang Sabtu lepas dan pada akhir Ramadan hujan agak lebat juga berlaku di beberapa lokasi di Machang dan Kuala Krai.
Sungai Kelantan dan Sungai Lebir pula semalam kelihatan agak keruh yang menggambarkan berlaku hujan di kawasan hulu dan pedalaman.
Bagaimanapun hujan yang turun tidak menyeluruh menyebabkan suhu agak membahang pada tengah hari sehingga petang dan awal malam. – HARAKAHDAILY 26/4/2023




















