
RANTAU PANJANG: Muslim Care Malaysia (MCM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang di Kelantan telah membina sebanyak 10 rumah untuk golongan asnaf yang melibatkan peruntukan RM600,000.
Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, program Home2Live merupakan salah satu daripada inisiatif Muslim Care Malaysia untuk membantu golongan asnaf terpilih dengan membina rumah untuk mereka.
Katanya, buat pertama kali sebanyak 10 rumah di bawah program berkenaan dibina hampir serentak bermula Oktober tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Januari tahun ini.
“Pemberian rumah melalui program Home2Live dilakukan melalui kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang bagi memastikan mereka yang layak untuk menerimanya.
“Inisiatif ini bermula ketika wabak Covid-19 mula melanda negara lebih dua tahun lalu dan sehingga kini sudah lebih 50 buah rumah dibina di seluruh negara, yang mana setiap satu berharga kira-kira RM60,000.
“Buat pertama kali juga kos pembinaan ditanggung bersama oleh MCM dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Rantau Panjang bagi menyediakan kediaman selesa buat mereka yang layak,” katanya selepas majlis serahan kunci 10 rumah melalui program Home2live di Pusat Latihan dan Aktiviti Komuniti Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periuk, Dato’ Mohamad Awang.
Zulkifli juga berkata, sebanyak tiga rumah lagi sedang dalam pembinaan iaitu di Kubang Kerian, Rantau Panjang dan Pasir Mas, dijangka siap sepenuhnya tahun ini.
“Kita berharap dengan usaha yang dilakukan ini dapat meringankan beban mereka dan diharap inisiatif sebegini dapat diteruskan bagi memberi bantuan bertepatan dengan misi MCM memberi bantuan kemanusian merentasi sempadan.
“MCM merupakan sebuah NGO Islam yang bergiat aktif dalam misi bantuan kemanusiaan serta dakwah di dalam dan luar negara.
“MCM ditubuhkan pada 2006, kita banyak terlibat dengan misi di Palestin, Syria, Indonesia, Pakistan, Iran, Iraq, Myanmar, Kemboja dan beberapa negara lagi ditimpa bencana,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/4/2023




















