
BAITULMAQDIS: Israel telah memberi kuasa bagi menubuhkan pasukan polis ‘pengawal negara’ di bawah menteri keselamatan ekstrem kanan, Itamar Ben-Gvir, yang mendakwa ia akan digunakan untuk ‘mengatasi keganasan’, manakala kedua-dua parti pembangkang Israel dan kerajaan Palestin menuduhnya sebagai suatu penubuhan regim ‘militia’.
Pejabat Perdana Menteri Israel dalam kenyataannya berkata, kuasa sebenar pasukan pengawal kebangsaan baharu yang diluluskan pada Ahad (2 April), waktu tempatan itu akan dibincangkan oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada kesemua agensi keselamatan Israel, yang akan mengemukakan cadangan dalam tempoh 90 hari, lapor New Arab.
Kelulusan perancangan Ben-Gvir itu adalah susulan langkah kerajaan Israel terdahulu yang merancang untuk menubuhkan pasukan polis bantuan bagi menangani apa yang disifatkan sebagai keganasan politik dalaman berikutan protes pro-Palestin di kawasan yang mempunyai populasi besar rakyat Palestin di Israel.
Demonstrasi rakyat Palestin itu didorong oleh serangan kejam Tel Aviv di Semenanjung Gaza pada Mei 2021, yang mengorbankan lebih 250 orang.
Ketua polis Israel, Inspektor Jeneral Yaacov Shabtai, bagaimanapun telah melahirkan rasa was-was mengenai pasukan baharu itu dalam suratnya kepada Ben-Gvir, lapor Times of Israel.
Sementara itu, bekas ketua polis Israel, Moshe Karadi pula memberi amaran bahawa Ben-Gvir boleh menyalahgunakan pasukan pengawal negara untuk mengetuai rampasan kuasa terhadap kerajaan Israel.
Dalam satu kenyataan pedas, beliau memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel ketika ini, Benjamin Netanyahu bahawa Ben-Gvir suatu hari nanti boleh ‘menggunakannya (pasukan pengawal kebangsaan baharu itu) terhadapnya (Benjamin Netahnyahu).
Ben-Gvir merupakan seorang peneroka Yahudi yang tinggal di penempatan haram di Tebing Barat yang dijajahi dengan sabitan lampau kerana menyokong keganasan dan hasutan terhadap rakyat Palestin, meningkat dalam kerier politiknya – sebahagiannya disebabkan oleh keganasan 2021 di kawasan Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis yang diduduki.
Dalam wawancara dengan media, Ben Gvir telah menyifatkan bahawa penubuhan pasukan pengawal negara adalah sebagai kemas kini inisiatif kerajaan Israel terdahulu.
Berbincang mengenai sasaran yang dirancang, beliau hanya menamakan komuniti Arab yang dilanda rusuhan atau jenayah di Israel serta di sepanjang sempadan dengan Tebing Barat Palestin.
“Ia akan menangani perkara ini secara eksklusif. Polis Israel tidak menangani perkara ini secara eksklusif. Ia sibuk dengan seribu satu perkara,” katanya kepada Radio Tentera Israel.
Sehubungan ahli-ahli politik Palestin di Israel telah mengecam pengawal negara sebagai militia yang berkhidmat untuk Ben-Gvir.
Sementara tokoh-tokoh pembangkang Israel lain menuduh Ben-Gvir mahukan kuasa baharu untuk membanteras demonstrasi di seluruh negara terhadap rancangan baik pulih kehakiman kerajaan oleh Netanyahu sebelum ini
Ahli Parlimen Palestin, Ayman Odeh dalam Twitternya berkata: “Kenapa kerajaan Israel – yang sudah mempunyai pasukan tentera, polis, perisikan tentera, Shin Bet, Mossad, Majlis Keselamatan Negara, Perkhidmatan Penjara, polis rusuhan, dan pasukan SWAT masih memerlukan pasukan pengawal negara yang lain?”
Sementara Ben-Gvir dalam kenyataannya lagi berkata, pembiayaan yang dibuat kerajaan Israel akan membolehkan pengambilan awal 1,850 kakitangan untuk pasukan pengawal negara baharu itu, sambil menambah bahawa kumpulan tersebut boleh dipinjamkan sebagai pegawai polis dan sukarelawan, termasuk dari sektor Arab.
“Penubuhan pasukan pengawal negara baharu ini akan mengambil masa berbulan-bulan sebelum mereka boleh untuk turun padang,” katanya.
Dalam pada Ketua polis Israel, Shabtai mempersoalkan keperluan terhadap penubuhan pengawal negara baharu itu dan memberi amaran bahawa sebarang pemisahannya daripada hierarki pasukan polis sedia ada ‘boleh membahayakan keselamatan rakyat’, lapor laman berita, Ynet pula.
Mengesahkan kewujudan surat itu, Ben-Gvir berkata beliau akan bertemu Shabtai pada hari Isnin dan terbuka kepada kemungkinan meletakkan pengawal negara di bawah kuasa perintah polis ‘jika mereka (pihak polis) serius dan benar-benar mahukannya’.
Israel telah menjajah Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur sejak tahun 1967 dengan melanggar undang-undang antarabangsa.
Bermula pada Mac 2022, ia mula melancarkan serbuan maut yang kerap terhadap bandar-bandar Palestin di Tebing Barat, membunuh dan mencederakan ratusan rakyat negara itu.
Rakyat Palestin dalam sempadan Israel pada 1948 telah lama mengalami peminggiran dan diskriminasi, terutamanya di tangan polis Israel.
Sejak kerajaan kanan Netanyahu berkuasa pada Nov 2022, sekurang-kurangnya 92 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat daripada awal tahun ini. – HARAKAHDAILY 3/4/2023




















