
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mengecam sekeras-kerasnya dan menggesa disekat tayangan sebuah filem tempatan secara atas talian, Mentega Terbang yang membawa mesej penghinaan secara tersirat terhadap agama Islam.
Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, Mentega Terbang telah memaparkan mesej-mesej yang bersifat ‘blasphemy’ – yang mana pembawakan dalam filem itu adalah berkenaan elemen penjelmaan semula selepas kehidupan dan liberalisme yang dibawa oleh watak utama, gadis remaja Muslim bernama Aishah.
“Saya khuatir gaya pembawaan pluralisme oleh watak utama dalam filem tersebut yang masih belasan tahun, boleh mempengaruhi penonton remaja dan kanak-kanak yang menonton cerita berkenaan,” katanya melalui perkongsian di Facebook miliknya.
Tambah beliau, ia juga turut membawa mesej yang salah berkenaan ciri-ciri agama Islam itu sendiri yang dikatakan bebas daripada elemen yang menyerupai agama-agama lain.
Menurut Khairul Nadzir, berhibur dan melakukan aktiviti kreatif dalam Islam tidak dilarang, namun ia tidak boleh melampaui batas yang telah ditetapkan oleh syariat dan agama Islam.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan kepada penggiat seni hiburan di luar sana agar menghormati sensitiviti umat Islam dan membuat kajian yang teliti sebelum menghasilkan apa jua karya untuk tontonan masyarakat.
Justeru, beliau menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital untuk menyekat sebarang kandungan hiburan yang boleh menganggu gugat keamanan agama dan akidah umat Islam.
“Filem Mentega Terbang yang sedang bebas ditayangkan ini merupakan antara contoh jelas elemen ekstrimisme dan provokasi agama yang tidak wajar dibiarkan dalam Malaysia Madani iaitu pemerintahan kerajaan idaman Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2023




















