
KUALA LUMPUR: Seorang penggiat media sosial, Hanisya Abdul Hamid menjadi mangsa sikap tidak demokratik pihak berkuasa yang menyebabkan akaun Facebook miliknya ‘dibenamkan’.
Bekas Blogger OmakKau! itu memaklumkan, akaun yang telah dibina sejak tahun 2009 itu telah mencecah jumlah pengikut hampir 95,000 di mana kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1 petang tadi.
Menurutnya, akaun itu telah dilenyapkan oleh pihak Facebook tanpa beliau diberikan sebarang notis amaran sebelum dari itu mahupun apa-apa alasan yang berkaitan.
Hanisya yang mesra membahasakan diri sebagai ‘Omak’ bermula sebagai penggiat maya pro-PKR dan Pakatan Rakyat sehinggalah meninggalkan parti itu pada tahun 2014.
“Semuanya angkara Langkah Kajang (ketika itu) yang jelas bagi Omak adalah suatu kezaliman semata-mata kerana sikap rakus tamak haloba mahu rembat jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor.
“(Iaitu) dari Almarhum Tan Sri Khalid Ibrahim dengan melakukan serangan jahat, jijik dan jelik pelbagai fitnah dan cerita palsu direka cipta setebal 91 muka surat,” imbas beliau.
Berkongsi pengalaman bergiat sejak 2009 itu, beliau berpendirian dan bersikap untuk berkarya secara fakta yang kadang-kala diselitkan sedikit gurau senda, sindiran dan kata-kata agak keras dan pedas.
“Namun Omak sentiasa pastikan kandungannya bukan berbaur fitnah, palsu, tipu dan cerita reka cipta. Yang menjadi sasaran utama Omak ialah Umno dan BN (Barisan Nasional) termasuk para pemimpinnya.
“Kemudiannya beralih kepada PH (Pakatan Harapan) yang didominasi DAP. Terkini PH-BN,” ceritanya asyik kepada kenangan dan pengalaman tidak dapat dilupakan itu.
Namun kongsinya, suatu perkara yang beliau masih berpegang kuat walaupun merupakan anggota PKR, adalah tidak pernah sekalipun menyerang PAS dan barisan kepimpinan parti itu.
“Ianya adalah suatu sikap semulajadi yang bukan dibuat-buat,” katanya sukar menceritakan perasaan tersebut.
Hanisya juga memberitahu, sepanjang mengendalikan akaun tersebut memang biasa berdepan sekatan dari bersiaran selama 3 atau 7 hari hingga 30 hari, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya.
Tegasnya, beliau mahu terus berkarya kerana itu adalah bidang yang amat diminati dan salah satu caranya menyampaikan kebenaran dan melawan fitnah-fitnah jahat.
“Omak banyak bersiaran dan berkarya berkisar politik tempatan. Suatu bidang kegemaran Omak nombor wahid. Kerap juga Omak dijemput beri talk bagaimana nak jadi medsos yang berpengaruh.
“Omak dengan rendah diri tidak pernah pun menyatakan bahawa Omak ini memiliki pengaruh kuat dalam medsos. Omak sentiasa memberi peringatan agar muat naik kisah yang benar dan bukannya fitnah.
“Walaupun ada pihak yang tidak sehaluan dalam dakapan dan kefahaman politik dengan Omak sering menuduh Omak memfitnah, tetapi bila dicabar agar kemukakan, mereka membuktikannya,” ujar beliau.
Menurut Hanisya, apabila menjadi ahli PAS pada Mei 2017, kompas penulisannya semakin jelas dan tegas dalam membela dan mempertahankan perjuangan PAS dan parti-parti bersekutu dengan PAS.
“Pada awal penulisan Omak sebagai ahli PAS, diakui ada beberapa ahli yang agak kurang senang dengan gaya penulisan Omak yang tidak serupa dengan para Mujahid Maya PAS sebelum-sebelum ini.
“Ada yang merasakan gaya dan bahasa penulisan Omak agak keras. Akhirnya syukur alhamdulillah mereka sudah mulai menerima cara dan gaya Omak menulis dan berkarya.
“Sebab dalam penulisan perlu ada kepelbagaian dan corak namun yang penting jangan memfitnah dan menipu,” jelas beliau.
Hanisya mengakui cukup sedih apabila akaun tersebut ‘dibenamkan’ buat selama-lamanya kerana dianggap cukup sinonim dengan dirinya dan semangat perjuangan didukung beliau.
Pun begitu tegasnya, beliau tidak berputus asa dan akan tetap berkarya terus berjuang dalam melawan kezaliman serta mempertahankan PAS selagi jantung masih berdegup dan nadi berdenyut.
“Akaun itu jugalah mulai merasa manis nikmat perjuangan apabila julung kali Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS boleh dikatakan menguasai arena medsos ketika PRU15 lalu.
“Bersama seluruh penggiat medsos PN bergerak dalam suatu pasukan, dalam satu gerak, satu nafas, satu tujuan, satu hati dan satu suara. Hasilnya PN telah memenangi 74 kerusi Parlimen dan hampir merampas Perak dan Pahang.
“Patah tumbuh hilang berganti walaupun pun yang ganti tidak sama dan serupa dengan yang hilang. Perjuangan harus diteruskan. Patah galah bertongkat kaki, patah kaki bertongkat lutut.
“Patah lutut bertongkat siku, patah siku bertongkat kuku, patah kuku bertongkat sayap, patah sayap bertongkat paruh. Patah paruh bertongkat dagu, namun daki tetap didaki.
“Walaupun jatuh tercarap, Misai pantang mencecah ke tanah. Membujur lalu melintang patah. Lawan tetap lawan,” madahnya membangkitkan motivasi diri. – HARAKAHDAILY 3/3/2023




















