
PERARAKAN Pemuda PAS Terengganu dua hari lalu di Setiu yang dikatakan mengguna kostum pakaian bersimbolkan keagamaan Islam telah mendapat perhatian parti kerajaan yang memerintah sehingga kepada Menteri Agama. Nampak sepakat memberikan pandangan terhadap kostum yang mahu dikait dengan kegelisahan masyakat atau nama lainnya adalah keganasan dan mendesak siasatan dilakukan.
Hanya kerana wujudnya unsur keagamaan Islam lalu mahu dikaitkan dengan keganasan sedangkan perarakan kostum atas Nijigen Expo 2023 pada tarikh sama yang berkesinambungan daripada Comic Fiesta 2022 menggunakan metod costum anime bersenjata diadakan di ibu kota Kuala Lumpur tidak pula digegerkan.
Sejarah ketamadunan Islam dahulu tidak boleh dinafikan sebagaimana perang Tanah Melayu sebelum merdeka. Wujudnya peperangan dan pemakaian kostum seumpama itu hanyalah simbol kegemilangan tamadun Islam. Jika orang Melayu berbangga dengan keris dan lembing, sejarah Islam tidak boleh memadamkan peperangan melalui pedang, panah dan kuda.
Begitu juga bukan-Islam yang mempunyai nilai sentimental tertentu dengan kostum peperangan termasuk anak muda yang terpengaruh dengan watak komik dan anime, lalu dipertontonkan melalui perarakan beragam. Jika ini dibolehkan dan tiada laporan polis dibuat oleh parti yang menyokong kerajaan, apa salahnya dengan perarakan kostum Pemuda PAS?
Malangnya, apa sahaja berkait agama Islam akan dimomokkan dengan keganasan. Inilah bayangan Islamofobia era kerajaan hari ini.
Salam hormat.
MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 20/2/2023





















