
SAO PAULO: Hujan lebat di kawasan pantai tenggara Brazil telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 19 nyawa dan menyebabkan ratusan yang lain hilang tempat tinggal.
Susulan kejadian pada Ahad (19 Feb), waktu tempatan itu, pekerja penyelamat berusaha mencari mangsa yang terselamat, menyambung semula penempatan yang terputus hubungan dan membersihkan jalan – sebahagian daripadanya masih terhalang, memerangkap ramai pelancong yang melancong untuk sambutan Karnival Brazil 2023, lapor Reuters.
Kerajaan negeri Sao Paulo mengesahkan 19 kematian dan 566 orang kehilangan tempat tinggal selepas hujan lebih 600 milimeter (23.62 inci) membadai pantai negeri terkaya di Brazil itu.
Ramalan cuaca menunjukkan hujan lebat akan berterusan di kawasan pantai Sao Paulo, meningkatkan cabaran dan halangan buat pekerja penyelamat, serta menambah prospek angka kematian yang lebih tinggi.
Kerajaan persekutuan mengarahkan beberapa kementerian untuk membantu mangsa bencana, memulihkan infrastruktur dan memulakan kerja pembinaan semula.
Sehubungan itu, negeri Sao Paulo mengisytiharkan keadaan bencana selama 180 hari untuk enam bandar di bawahnya selepas apa yang disifatkan pakar sebagai kejadian cuaca ekstrem yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Saluran berita TV tempatan melaporkan, operasi di pelabuhan Santos, yang terbesar di Amerika Latin, terganggu di tengah-tengah tiupan angin melebihi 55 kilometer per jam (34.18 mph) dan ombak setinggi lebih satu meter pada hari Sabtu (18 Feb).
Sementara, Presiden, Luiz Inacio Lula da Silva berkata dalam akaun media sosialnya beliau akan melawat kawasan utama terjejas pada hari ini, Isnin (21 Feb). – HARAKAHDAILY 20/2/2023




















