Pindaan Akta 655: Wajar dikenakan denda dan hukuman berat

- Advertisement -

AKTA Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) seharusnya wajar dipinda segera dengan mengenakan denda dan hukuman yang lebih berat kepada pencemar bekalan air memandangkan isu pencemaran ini sering kali berlaku sehingga menjejaskan kehidupan seharian penduduk.

Saya menyambut baik usaha pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk meneruskan pindaan Akta 655 yang akan dibentang pada Jun di Dewan Rakyat pada tahun ini. Cadangan pindaan tersebut menyatakan kadar denda dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM10 juta dan hukuman penjara daripada setahun kepada 15 tahun.

Saya melihat wajar sekiranya, denda maksimum hingga RM20 juta dan hukuman penjara hingga 20 tahun dilaksanakan dalam pindaan akta ini bagi mana-mana penjenayah alam sekitar yang didapati bersalah. Hal ini demikian kerana, selain denda dan hukuman yang berat bagi menggerunkan sama ada masyarakat mahupun pihak industri, tetapi ia juga perlu mengambil kira segala kos operasi yang meningkat dan kepesatan pembangunan fizikal saban tahun. 

Selain daripada itu, akta ini juga perlu memastikan penjenayah alam sekitar bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keseluruhan kesan pencemaran yang dilakukan. Ia termasuk bertanggungjawab dalam menanggung kos pembersihan bekalan sumber air dan membayar pampasan kepada penduduk yang terjejas dari segi kesihatan dan sebagainya.

Sehubungan itu, pindaan akta yang lebih ketat dengan mengenakan denda dan hukuman yang lebih berat amat wajar dilaksanakan dalam abad ke-21 ini bagi memastikan keseriusan kerajaan hari ini dalam menangani pencemaran air selain menjamin kesejahteraan rakyat.

“Malaysia Sejahtera”

YB TUAN CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 18/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -