
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengingatkan Ahli Parlimen Tambun untuk tidak menyalahgunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk mencipta persepsi buruk terhadap PERIKATAN NASIONAL (PN).
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sengaja mencari kesalahan yang tidak wujud semasa pemerintahan PN mencerminkan pentadbirannya yang candung.
“Ahli Parlimen Tambun mengambil tindakan ‘witch hunting’ (mencari salah), kesalahan kerajaan dulu yang tak wujud dicari-cari, tak ada di ada-adakan, melemparkan tuduhan yang bukan-bukan, kononnya saya selewengkan RM600 bilion, kemudian tukar RM530 bilion, lepas itu RM90 bilion, kemudian 4.5 bilion, lepas itu RM300 milion, Perdana Menteri sendiri yang cakap begini.
“Apa yang disebut RM600 bilion itu adalah pakej rangsangan ekonomi, bahkan Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan pun tahu, bukan untuk kita dapat kontrak tetapi untuk rakyat. Kenapa buat begitu, tak betul.
“Kalau dari segi undang-undang, ini fitnah, saya belum lagi nak ambil tindakan undang-undang, kasihan pada Perdana Menteri baru, bagi dia peluang dulu memerintah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa yang sama, Muhyiddin tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa segala tindak-tanduk Anwar sedikit sebanyak dipengaruhi oleh gelombang PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Jadi kalau apa-apa hal pun biarlah yang berasas jangan salah guna kuasa, Yang Berhormat Tambun dulu pun pernah dijatuhkan hukuman salah guna kuasa, saya bukan nak mengata, itu rekod sejarah dia, kita tak buat begitu.
“Tetapi saya orang politik, mungkin ini berlaku kerana ada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam buah negeri yang kita akan hadapi.
“Sekarang ini kalau boleh nak dihitamkan muka saya, kata kami semua perompak dan lanun supaya rakyat tak sokong kita tapi saya percaya bahawa gelombang PN lihat akan terus melanda enam buah negeri yang kita akan tarah
“Saya nak bagi amaran jadi jangan main-main, ini sentimen rakyat bukan kami ahli-ahli Parlimen PN disini saja, rakyat berjuta sana melihat telatah kerajaan pimpinan yang ada pada hari ini bersikap niat jahat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 15/2/2023




















