
PASIR PUTEH: Sasaran kerajaan negeri bagi melahirkan usahawan belia semakin menjadi kenyataan apabila ramai golongan terbabit berminat menceburi bidang keusahawanan.
Exco Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sehingga sekarang lapan Stesen Mek Awey diwujudkan di Kelantan yang menyediakan peluang belia menceburi bidang perniagaan.
Katanya kerajaan negeri menyasarkan setiap jajahan terdapat sebuah stesen terbabit bagi merancakkan lagi bidang keusahawanan.
“Sasaran awal kita semua jajahan ada Stesen Mek Awey dan bagi fasa kedua kita akan perluaskan pula kepada 14 kawasan Parlimen di Kelantan,” katanya selepas merasmikan Stesen Mek Awey Kampung Wakaf Raja, Dun Gaal di sini.
Hadir sama Adun Gaal Mohd Rodzi Jaafar, Adun Selising Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Adun Limbongan Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah.
Inisiatif tersebut dikendalikan di bawah Urusetia Belia dan Sukan bersama vendor rasmi kerajaan negeri termasuk Ko-Ummah, Mr Tako, Supdeko dan Fried Chicken.
Stesen Mek Awey pertama diwujudkan di Bandar Baharu Tunjong pada 29 September 2021. Kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 setahun bagi menjayakan program berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/2/2023











