
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru ahli-ahli parlimen agar bersatu hati mengetepikan perbezaan dan bersatu padu, demi mengelakkan berlaku satu lagi episod pertukaran kerajaan sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke Pahang, pada 30 Januari tahun depan.
“Pada pengamatan beta, jika episod yang membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7 tidak berlaku, nescaya rantaian kemelut politik yang berlarutan sehingga kepada Pilihan Raya Umum ke-15 juga akan dapat dielakkan.
“Lebih penting lagi, kemelut politik yang membelenggu negara hampir empat tahun lamanya boleh dielakkan jika sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ahli politik negara bersedia untuk mengenepikan perbezaan dan bersatu padu semata-mata atas dasar untuk menjaga kepentingan rakyat beta dan negara yang kita cintai ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, di sini, hari ini.
Titah baginda, semua pemimpin perlu bersikap matang untuk menjadikan perbezaan kemajmukan dan kepelbagaian yang wujud setelah negara memperolehi kemerdekaan selama 66 tahun.
“Pada usia 66 tahun, kita sepatutnya telah matang untuk menjadikan perbezaan yang unik ini sebagai rencah utama dalam pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang saling sayang menyayangi, menghormati antara satu dengan yang lain, toleran dan hidup dalam sebuah kesepaduan yang utuh.
“Jika kepelbagaian, kemajmukan dan kekusutan politik berterusan menjadi punca perbalahan dan perpecahan, beta merasa khuatir suasana damai dan kemajuan yang didambakan tidak akan menjadi kenyataan buat selama-lamanya,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 13/2/2023




















