
ADANA: Merangkak keluar dari bilik apartmennya pada waktu tengah malam Isnin yang bergegar akibat gempa bumi melanda tenggara Turkiye, pemain bola sepak Norway, Fredrik Gulbrandsen tidak menyangka berjaya menyelamatkan dirinya.
Gulbrandsen, yang bersendirian berehat di apartmen yanfg didiaminya di bandar Adana, di sini, selepas mengalami kecederaan semasa perlawanan, cuba melarikan diri dari bangunan 15 tingkat itu apabila dia merasakan lantai kediamannya itu bergegar di bawah kakinya, lapor TRT World.
“Saya cuba berdiri di dalam apartmen saya. Saya tidak dapat melakukannya kerana saya sangat menggeletar.
“Lalu, saya merangkak untuk mengambil beberapa helai pakaian dan keluar dari apartmen melalui tangga,” kata Gulbrandsen kepada akhbar harian Norway, Dagbladet.
“Saya masih tidak percaya saya berjaya keluar dari bangunan apartment saya itu hidup-hidup,” tambahnya yang kemudian berhadapan dengan suasana panik di luar bangunan apartment itu menyaksikan penghuni lain berebut-rebut menyelamatkan.
Pemain posisi penyerang berusia 30 tahun dengan Adana Demirspor itu berkata, selepas berjaya keluar dari bangunan tersebut, dia terus menghubungi keluarga rakan sepasukannya dari Norway, Jonas Svensson dan membawa mereka bersamanya ke penempatan yang disediakan kelab bolasepaknya itu.
Gulbrandse berkata mereka semua berada dalam keadaan baik tetapi telah melalui pengalaman penuh traumatik akibat gempa bumi tersebut.
Gulbrandsen yang menyertai Adana Demirspor selepas berhijrah dari Medipol Basaksehir pada tahun lalu, menjaringkan gol dalam 13 perlawanan.
Sementara itu, semua aktiviti sukan di Türkiye telah digantung sehingga diberitahu kelak berikutan gempa bumi ketika negara itu sedang tempoh tujuh hari berkabung.
Persekutuan Bola Sepak Turkiye mengesahkan pada Selasa (7 Feb) bahawa semua perlawanan minggu ini, dari 7 hingga 12 Feb, telah ditangguhkan.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6, yang berpusat di Kahramanmaras melanda 10 wilayah dan menjejaskan lebih 13 juta penduduk Turkiye dengan jumlah kematian termasuk di Syria kini mencecah 15,000 orang. – HARAKAHDAILY 9/2/2023




















