
ALOR SETAR: Bermatlamat mendukung hasrat kerajaan negeri, Yayasan Kedah Sejahtera (YKS) telah ditubuhkan bagi memberi fokus untuk mengangkat slogan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.
Pengerusi YKS, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, justeru itu empat misi (objektif) utama pembentukannya akan memainkan peranan untuk merealisasikan hasrat berkenaan.
Menurutnya, antaranya, termasuklah merealisasikan dasar ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ melalui pendekatan penyelidikan dan pembangunan polisi selaras dengan usaha membangunkan sosial-ekonomi masyarakat.
“Selain itu, YKS juga menyediakan kemudahan pendidikan serta membangunkan kursus, latihan yang bersesuaian kepada graduan dan belia.
“Memberi tumpuan kepada sumbangan kebajikan dalam pelbagai aspek sama ada kesihatan, pendidikan, khidmat guaman,sukarelawan dan lain-lain,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian YKS di Jerai Inn, di sini, semalam.
Dalam pada itu, kemajuan khususnya masyarakat Melayu dan bumiputera juga antara matlamat YKS terutama berkenaan perkembangan aktiviti perindustrian, kewangan dan kormersil.
“Walau bagaimanapun, YKS masih diperingkat permulaan, ibarat membina rumah besar, ada bilik dan dapur sahaja buat permulaan, bolehlah mula beroperasi,” tambahnya lagi.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Pengasas YKS, Dato’ Ahmad Yahaya, barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah, ahli-ahli parlimen dan Adun-Adun negeri terbabit.
Musoddak dalam masa yang sama berkata, YKS juga memberi fokus kepada penyelidikan khususnya kepada ahli parlimen sebagai bahan perbahasan dalam persidangan parlimen nanti, sementara untuk ADUN di Kedah, ia dibuat secara berkumpulan. – HARAKAHDAILY 8/2/2023




















