Selepas 24 jam banjir, ribut: UK bakal hadapi salji ekstrem

Air banjir mengelilingi Tewkesbury Abbey, Gloucestershire selepas dilanda hujan lebat berterusan pada 12 Jan 2023. (FOTO: PA)
- Advertisement -

WALES: Selepas 24 jam bergelut dengan banjir dan angin ribut kencang, penduduk di United Kingdom diberitahu agar bersiap sedia dengan salji ekstrem susulan suhu menjunam pada minggu depan.

- Advertisement -

Hujan lebat semalam, Khamis (12 Jan) telah menyebabkan sebahagian besar penduduk berhadapan dengan malapetaka  sungai yang pecah dan jalan raya yang ditenggelami air,  menyebabkan kediaman  dan pemandu di jalan-jalan raya berhadapan risiko bahaya, lapor Daily Mail UK.

“Walaupun hari ini dijangka lebih cerah, satu lagi pusingan cuaca basah dan berangin mungkin berterusan sepanjang hujung minggu dan ke minggu depan,” ujar amaran yang dikeluarkan oleh Met Office di UK.

Bahagian barat laut England, Ireland Utara dan Wales Utara semalam dilanda  tiupan angin  yang bergerak sehingga 113 kilometer per jam, yang mana menjelang minggu depan penurunan suhu akan membawa risiko salji ekstrem ke UK.

Lokasi yang terjejas banjir di United Kingdom pada 12 Jan 2023 termasuk di Somerset, Wales dan Telford (FOTO: Daily Mail UK)

“Banjir sungai dan air permukaan tempatan berkemungkinan berlaku di seluruh bahagian England hari ini,” tambah Met Office dan Agensi Alam Sekitar UK, selepas Khamis (12 Jan) menyaksikan amaran banjir dikeluarkan di seluruh negara itu.

Memandangkan suhu semakin menurun pada hujung minggu ini, Britain boleh menjangkakan untuk menghadapi bahaya musim sejuk termasuk  salji dan ais.

“Angin kencang akan membawa rasa sejuk kepada orang ramai pagi ini, dengan angin ribut di sepanjang pantai dan di kawasan yang lebih tinggi,” ujar kenyataan Met Office UK.

Tambah kenyataan itu, keadaan  akan menjadi lebih tenang di barat laut Scotland, tetapi hujan akan terus melanda ke kawasan utara dan barat.

Keadaan banjir di Peterston-Super-Ely berhampiran Cardiff, United Kingdom pada 19 Jan 2023. (FOTO: Wales News Service)

“Walau bagaimanapun, ia dijangka menjadi lebih sejuk pada hujung minggu – dan ke minggu depan – yang kemudian membawa hujan salji yang meluas,” ujar kenyataan itu.

Pakar meteorologi tempatan dalam pada itu berkata, cuaca buruk di UK sebahagiannya disebabkan oleh ‘cuaca sejuk-beku besar-besaan’ yang melanda Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Penurunan suhu dalam beberapa hari akan datang bermakna hujan boleh memberi laluan kepada salji di kawasan tinggi di kawasan utara, khususnya Scotland, dan juga di kawasan yang lebih rendah,” kata jurucakap Met Office UK, Stephen Dixon.

“Keadaan basah dan berangin berkemungkinan berterusan sehingga Sabtu (14 Jan)  dan Ahad (15 Jan) ini, membawa bersama  risiko baharu banjir di kawasan yang telahpun mengalami hujan lebat sebelum ini,” ujarnya.

Tambah Dixon, senario hujan lebat yang turun semalaman belum berakhir pada hari ini, Jumaat (13 Jan) tetapi merupakan permulaan kepada satu lagi bencana hujan ekstrem yang akan  melanda di seluruh UK pada hari Sabtu (14 Jan) dan ke pagi Ahad (15 Jan).

Tebing Sungai Taff telah pecah membanjiri beberapa taman dan laluan pejalan kaki di sepanjang denai Taff, termasuk Taman Bute Cardiff berhampiran pusat bandar, dan Taman Telaga Taff di Wales Selatan. (FOTO: Wales Online)

“Pada hari Sabtu (14 Jan), hujan dijangka bakal melanda paling lebat di barat dan barat daya Wales , dengan beberapa kawasan melihat melebihi 50 milimeter.

“Kami akan memerhatikannya kerana sebahagian daripada hujan itu akan turun di tanah yang sudah tepu.

“Suhu akan turun sepanjang hujung minggu membawa bersamanya hujan musim sejuk, dengan kemungkinan salji di kawasan yang lebih tinggi,” katanya.’

Cuaca musim sejuk berlaku selepas beberapa bahagian di bahagian barat UK  dilanda cuaca basah malam Rabu (11 Jan) – termasuk pinggir bandar Bristol di Hanham – dan air sungai Avon melimpahi tebingnya di tengah-tengah hujan lebat.

Tempat letak kereta untuk dua pub – Old Lock & Weir Inn dan Checkers Inn – adalah salah satu tempat yang terjejas teruk akibat kenaikan air.

“Malangnya banjir melanda tebing sungai, hampir dengan beberapa rumah dan pusat perniagaan,” ujar seorang saksi di lokasi kejadian.

Gambar-gambar di media-media sosial turut menunjkkan uncul tentang kereta-kereta yang ditenggelam banjir di Old Bristol Road di Keynsham.

Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Avon berkata kru mereka telah menyelamatkan seorang  mangsa daripada kereta mereka sejurus sebelum jam 2 pagi, dan sejurus selepas 8 pagi mereka menyelamatkan tiga lagi orang yang terkandas di dalam kenderaan masing-masing.

Sementara itu, penduduk di Shropshire dan sempadan Mid Wales di Herefordshire diberitahu untuk mengambil tindakan untuk melindungi rumah mereka, berikutan banjir dijangka berlaku di Ironbridge dan Jackfield, serta lima kawasan lain.

Maerdy, sebuah kawasan di Lembah Rhondda Scotland, dilanda hujan pada  82.2mm antara 9 malam Rabu (11 Jan) dan tengah hari Khamis (12 Jan), sementara di Pontypridd (77.2mm) dan di barat daya Dunkery Barat (59.6mm).

Sebuah kereta tersadai dalam air banjir di Walcott Ford, Drakes Broughton, Worcestershire pada 12 Jan 2023. (FOTO: Worcestershire Highways and Travel)

Di Wales Selatan pula, tebing Sungai Taff telah pecah membanjiri beberapa taman dan laluan pejalan kaki di sepanjang denai Taff, termasuk Taman Bute Cardiff berhampiran pusat bandar, dan Taman Telaga Taff, yang kini digenangi air banjir.

Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat South Wales berkata, Porth dan Pontypridd adalah kawasan yang paling teruk terjejas akibat banjir.

Ia menyebabkan pusat  seni dan muzik popular di  Pontypridd,  Clwb y Bont terpaksa ditutup kerana mengalami kerosakan akibat banjir.

Beratus-ratus hartanah di Newport pula terputus bekalan elektrik hampir sepanjang hari, manakala sebahagian laluan pejalan kaki runtuh ke Sungai Ebbw, yang membawa kepada penutupannya oleh majlis. 

Sementara itu, tebing Sungai Usk di Powys juga telah pecah, membanjiri bahagian penempatan di Crickhowell.

Keadaan banjir di Gloucestershire yang berubah menjadi seperti bandar akuatik terapung pada 12 Jan 2023. (FOTO: PA)

Agensi Alam Sekitar menasihatkan orang ramai supaya memeriksa risiko banjir di kawasan tempat tinggal mereka, menjauhi sungai yang yang tebingnya berisiko untuk pecah dan tidak memandu melalui kawasan yang dilanda air banjir.

Andy Wall dari Sumber Asli Wales, berkata semalam (12 Jan), hujan turun dengan lebat  sepanjang 24 jam yang lalu, susulan cuaca yang sangat tidak menentu yang berpanjangan di kebanyakan kawasan di Wales sepanjang bulan lalu.

“Terdapat gangguan perjalanan yang meluas dengan banjir di tanah rendah dan jalan-jalan raya. Kami mendapat beberapa laporan terpencil mengenai banjir dan kerosakan harta benda.

“Nasib baik, kami telah terhindar daripada beberapa yang terburuk yang mungkin berlaku jika hujan lebih lebat, tetapi secara keseluruhan, ia adalah gambaran yang sukar di seluruh Wales,” keluhnya.

Memandangkan hujan yang diramalkan oleh Met Office UK  pada hujung minggu ini, tambah Wall, pihaknta menjangkakan untuk melihat sungai kembali  dipenuh air, dan berkemungkinan besar banjir akan kembali melanda di tanah-tanah ladang dan jalan-jalan raya, terutamanya di komuniti terpencil di kawasan rendah.’

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini negara telah menyaksikan kekerapan cuaca buruk meningkat akibat perubahan iklim ekstrem, termasuk tempoh kemarau yang panjang serta tempoh cuaca basah yang juga berpanjangan di luar kebiasaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2023

- Advertisement -