Covid-19: Jangan ulangi kesilapan Kerajaan PH dahulu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jangkaan kira-kira 300,000 pelancong dari China yang akan berkunjung ke Malaysia pada tahun depan adalah membimbangkan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan perlu ambil tindakan tegas bagi menyekat kemasukan pelancong China sehingga kes harian Covid-19 di negara itu reda.

“Ambil iktibar dari kesilapan PH pada dua tahun lalu. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut menyarankan agar kerajaan berwaspada dengan penularan kes baharu Covid-19 dalam kenyataan hari ini, sebagaimana di bawah.

CHINA BUKA SEMULA SEMPADAN: CEGAH DAHULU PENULARAN

PAS terpanggil dengan kenyataan Menteri Kesihatan Kerajaan PH-BN mengenai isu kemasukan pelancong asing khasnya dari negara China memandangkan penularan kes baharu di negara itu yang semakin serius.

PAS menyarankan agar kerajaan berwaspada dengan penularan kes baharu Covid-19 selepas China membenarkan rakyatnya mengembara ketika kes pandemik di negara republik itu melonjak sehingga 62,439 kes dalam seminggu.

Malaysia perlu mengambil iktibar daripada penularan wabak pada tahun 2020 apabila tidak melakukan langkah mencegah kemasukan pelancong yang berisiko membawa Covid-19.

PAS mencadangkan agar ditangguhkan secara sementara kemasukan pelancong dari China, memerhati perkembangan di China dan negara-negara lain yang telahpun menerima pelancong dari China sebelum membenarkan semula mereka masuk ke dalam negara.

Bagi pelancong yang telah berada di negara ini, mereka perlu dikenal pasti dan diperiksa tentang status Covid-19.

Sementara itu, rakyat juga dinasihatkan untuk kekal menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan menitikberatkan penggunaan pelitup muka dan tidak berada di kawasan yang sesak. – HARAKAHDAILY 31/12/2022

- Advertisement -