
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kini mengorak langkah lagi ke hadapan dengan menubuhkan skuad Briged Muda MAIWP (BMM), bermatlamat memupuk sikap positif anak muda dalam menjadi medium interaksi antara MAIWP, masyarakat dan golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.
Ahli Lembaga Pengarah MAIWP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, penubuhan BMM adalah sebagai salah satu medium interaksi dalam mewujudkan jaringan kerjasama dan komunikasi antara penerima bantuan MAIWP itu sendiri.
Menurut beliau, program ini sangat bermakna kerana dapat merealisasikan peranan dan fungsi MAIWP yang bertindak sebagai agensi yang menjaga dan memelihara kebajikan sosioekonomi umat Islam khususnya agihan zakat secara menyeluruh.

“Pada hari ini, kita semua dapat menyaksikan dana zakat melalui kutipan zakat oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP dan diagihkan oleh MAIWP secara dinamik dan holistik bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi PPZ-MAIWP.
Beliau hadir ke Kompleks Darul Kifayah Taman Koperasi Polis Fasa II, Batu Caves, Selangor bagi merasmikan pelancaran Briged Muda MAIWP (BMM) dan Gotong-royong Perdana yang diadakan pada hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada MAIWP yang sentiasa menyusun gerak kerja dan program berterusan sepanjang tahun dalam melaksanakan agenda pembangunan ummah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Abdul Aziz turut memberitahu, penubuhan BMM adalah satu inisiatif yang dilakukan oleh MAIWP untuk memupuk nilai kebersamaan antara MAIWP, masyarakat dan asnaf yang dibantu melalui penglibatan sukarelawan yang bersedia berkhidmat untuk turut ke lapangan bersama-sama MAIWP menyantuni asnaf di Wilayah Persekutuan.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha MAIWP, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mohd Fauzi Abidin; Pengurus Bahagian Agihan Zakat MAIWP, Ustaz Ahmad Talmizi Yahya; Pengetua Kompleks Darul Kifayah, Abdul Rauf Abd Aziz; Ahli-Ahli Briged Muda MAIWP dan Alumni Kompleks Darul Kifayah.
Abdul Aziz yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata sehingga kini, seramai 210 orang telah mendaftar untuk menyertai skuad BMM, dan MAIWP menyasarkan penyertaan sehingga 1,000 orang (sukarelawan BMM) pada masa akan datang.
.

Katanya lagi, penyertaan dalam BMM terdiri daripada golongan belia di peringkat komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar yang berada di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Sehubungan itu, beliau turut memaklumkan bahawa MAIWP telah meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan Sukarelawan Briged Muda MAIWP sebanyak RM162,500 yang merangkumi kos pakaian khas dan kos saguhati kehadiran sukarelawan Briged Muda.
Beliau berharap dengan program dan inisiatif yang dilaksanakan ini dapat menampakkan keseragaman dan kesungguhan bagi setiap ahli yang telah dilantik sebagai sukarelawan BMM.

Sehubungan itu, ujarnya lagi, MAIWP juga sentiasa komited untuk menyediakan sebuah kompleks perlindungan yang kondusif dengan memberikan kemudahan pendidikan yang sempurna kepada golongan sasar.
Kompleks Darul Kifayah ini telah beroperasi sejak tahun 1983 dengan matlamat menjaga kesejahteraan golonan anak yatim dan pelajar daripada keluarga yang tidak berkemampuan melalui penyediaan tempat tinggal atau asrama bagi anak-anak yang bersekolah.
“Hal ini amat penting bagi melahirkan individu Muslim yang berakhlak mulia dan berketerampilan pada masa akan datang,” tegas beliau.
Sempena pelancaran BMM itu, suatu gotong-royong perdana turut diadakan pada hari ini, yang mana menurut Abdul Aziz, aktiviti berkenaan dilihat sebagai satu permulaan yang sangat baik bagi menggerakkan ahli BMM ke arah aktiviti-aktiviti yang dapat menyantuni masyarakat yang memerlukan.

“Melalui aktiviti yang dilaksanakan pada hari ini, ia akan dapat menambah keceriaan fasiliti dan kawasan-kawasan seperti dewan makan, asrama lelaki, asrama perempuan, asrama Ma’alim Al-Sunan Li Dirasati Al-Sunnah Al-Nabawiyyah (MSN) serta asrama Pondok Moden al-Abaqirah (PMA) dan sebagainya,” ujarnya.
Justeru, beliau mengharapkan semoga para penghuni yang berada di kompleks ini bertambah selesa dan ceria berada dalam persekitaran yang bersih dan kondusif selepas aktiviti gotong royong diadakan ini.
Sehubungan itu, pada hari ini juga diadakan perasmian Laman Pertanian Bandar yang diusahakan oleh penghuni Kompleks Darul Kifayah.

Abdul Aziz berkata, ia adalah usaha MAIWP bagi menyokong Program Penghijauan Malaysia yang giat diusahakan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
“Program ini membolehkan kita memanfaatkan kawasan lapang di premis MAIWP melalui hasil titik peluh sendiri dengan aktiviti pertanian yang mendatangkan impak yang sangat positif kepada semua yang terlibat dan seterusnya mendapat keberkatan yang berpanjangan.
Hal ini ujar beliau, adalah bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bermaksud: Tidaklah seorang Muslim yang menanam tanaman atau menabur benih lalu (hasilnya) dimakan oleh manusia, burung atau binatang ternak melainkan hal tersebut menjadi sedekah baginya.
Menurut Abdul Aziz, tanpa komitmen daripada golongan pembayar zakat, sudah tentu program kepada masyarakat tidak dapat dibuat secara optimum dan menyeluruh.
“Semoga segala usaha ini akan dibalas dengan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Justeru, pada hari ini kita semua dapat menyaksikan dana zakat melalui kutipan zakat oleh PPZ-MAIWP dan diagihkan oleh MAIWP secara dinamik dan holistik bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/12/2022




















